Minggu Solidariti Palestin: Fadhlina tuntut MP Jasin, Harakah Daily tarik balik artikel

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memulakan tindakan undang-undang dengan menuntut Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan portal Harakah Daily menarik balik artikel kononnya takbir serta bacaan doa Qunut Nazilah tidak dibenarkan semasa penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah baru-baru ini.

Menerusi surat tuntutan (LOD) yang bertarikh 21 November 2023, Zulkifli dan Harakah Daily diarahkan untuk mengambil tindakan itu dalam tempoh 48 jam daripada penerimaan surat berkenaan selain membuat memohon maaf tanpa syarat.

Zulkifli dan Harakah Daily juga dituntut agar memberi jaminan secara bertulis agar tidak akan menyiarkan kenyataan memfitnah Fadhlina di mana-mana platform milik mereka.

Turut dituntut bayaran RM500,000 sebagai ganti rugi terhadap reputasi dan nama baik Fadhlina.

Menerusi LOD yang dihantar oleh Firma Ibrahim & Fuaadah, Fadhlina mendakwa artikel yang disiarkan membawa maksud beliau tidak membenarkan takbir dan bacaan doa Qunut Nazilah di sekolah sempena program tersebut.

Dakwanya, kenyataan berkenaan menggambarkan Fadhlina selaku anak guam firma itu mempunyai akidah yang terpesong kerana terlibat di dalam ritual agama lain.

Ia lebih-lebih lagi kenyataan tersebut merujuk kepada Fadhlina sebagai seorang munafik dan berpura-pura menunjukkan keimanan.

"Anak guam kami menegaskan bahawa fitnah amat berat kepada pihak berkenaan telah mempersoalkan pegangan agama yang menjadi asas kemanusiaan dalam kehidupan seseorang," kata firma tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut LOD itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ataupun Fadhlina tidak pernah sebarang bentuk larangan tersebut.

"Seperti ditegaskan semasa sidang Dewan Rakyat pada 2 November lalu, program tersebut bertujuan untuk mendidik murid dengan nilai kemanusiaan dan pendidikan kedamaian berdasarkan latar belakang sekolah," katanya.

Sebelum ini, Fadhlina menggesa agar mana-mana pihak termasuk pemimpin di blok pembangkang mahupun kerajaan tidak mengganggu ekosistem sekolah.

Ujarnya, sekolah bersifat dinamik yang mempunyai pelbagai kepercayaan dan latar belakang.

"Sebab itu jangan bising, jangan susah hati kalau sekolah tidak ada takbir, tak ada qunut nazilah.

"Ada sebab kenapa ia berlangsung dalam suasana dan aktiviti yang dibenarkan dengan bersesuaian dengan sekolah tersebut," katanya.