Tok Bali 'syurga' pelbagai ubi musim tengkujuh

Setiap kali musim tengkujuh, laluan di sepanjang Tok Bali, Pasir Puteh menjadi 'syurga' pelbagai jenis ubi-ubian.Gambar kanan: Ubi itik (kanan) dan badak (kiri) turut mendapat permintaan tinggi sepanjang musim tengkujuh.
Setiap kali musim tengkujuh, laluan di sepanjang Tok Bali, Pasir Puteh menjadi 'syurga' pelbagai jenis ubi-ubian.Gambar kanan: Ubi itik (kanan) dan badak (kiri) turut mendapat permintaan tinggi sepanjang musim tengkujuh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Setiap kali musim tengkujuh, laluan di sepanjang kawasan Tok Bali di sini menjadi 'syurga' pelbagai jenis ubi-ubian sekali gus membuatkan penggemarnya rambang mata.

Antara jenis ubi yang dijual ialah ubi kayu, badak, itik, kembili, sengkuang, keladi dan bermacam-macam lagi.

Semua jenis ubi tersebut hanya akan muncul dan menjadi rebutan setiap kali musim tengkujuh.

Peniaga, Norhamidah Ab Rahman, 33, berkata, permintaan ubi akan naik berkali ganda sekiranya hujan lebat sekali gus membuatkannya tidak menang tangan untuk melayan pelanggan.

Norhamidah menunjukkan ubi kayu yang paling laris dan mendapat permintaan tinggi sepanjang musim tengkujuh.
Norhamidah menunjukkan ubi kayu yang paling laris dan mendapat permintaan tinggi sepanjang musim tengkujuh.

"Setakat ini yang paling mendapat permintaan tinggi ialah ubi kayu, badak serta kembili.

"Ubi kayu dijual sekitar RM3 hingga RM4 sekilogram, badak (RM7-RM8) manakala kembili RM10 hingga RM12 bergantung kepada saiz," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya yang sudah lapan tahun berniaga, sepanjang musim tengkujuh permintaan terhadap buah-buahan akan jatuh mendadak.

Ujarnya, sehari mampu menjual lebih 50 kilogram (kg) dan kebanyakan pelanggan adalah pengguna jalan raya termasuklah penduduk setempat.

Bagi Baharudin Ab Rahman, 53, pula, musim tengkujuh memberikan rezeki lebih kepadanya sejak tiga tahun lalu.

Baharudin menunjukkan ubi kembili yang dijual di gerainya di Tok Bali, Pasir Puteh.
Baharudin menunjukkan ubi kembili yang dijual di gerainya di Tok Bali, Pasir Puteh.

"Saya jual ubi ni sepanjang tahun tetapi bila musim tengkujuh permintaannya sampai tidak menang tangan.

"Terutama ubi itik, badak, kembili dan banyak lagi.

"Harga pula tengok kepada bekalan, jika berlebihan ia boleh mencecah sehingga nilai paling murah," katanya.

Beliau memberitahu, semua ubi yang dijual diambil bekalannya dari Jelawat, Bachok dan sekitar Semerak.

Sementara itu, peniaga yang ingin dikenali sebagai Mohamad berkata, kebiasaannya beliau akan menjual ubi sekitar bulan November dan Disember.

"Antara ubi yang sering dicari pembeli selain ubi kayu ialah keladi, sengkuang, badak dan itik.

"Selain dicampur dalam masakan, ramai yang memilih rebus biasa kerana ia enak dimakan di musim tengkujuh tambah lagi dihidangkan dengan kopi o panas," katanya.

Ujar peniaga itu, kebanyakan ubi yang dijual diambil dari Bukit Panau, Tanah Merah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!