Lelaki tular panjat bumbung flat, tiga rakan dijel enam bulan

Mohamad Aiman Farhan (dua dari kanan) dan tiga rakannya, Muhammad Izuan (dua dari kiri), Muhamad Zul Irfan (tiga dari kiri) serta Mohd Hafiz (tiga dari kanan) dibawa oleh pihak polis ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa.
Mohamad Aiman Farhan (dua dari kanan) dan tiga rakannya, Muhammad Izuan (dua dari kiri), Muhamad Zul Irfan (tiga dari kiri) serta Mohd Hafiz (tiga dari kanan) dibawa oleh pihak polis ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang tular melarikan diri ke bumbung daripada ditangkap polis dan tiga rakannya dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menyimpan dan memiliki harta curi, dua minggu lalu.

Buruh, Mohamad Aiman Farhan Alias, 26, dan tiga rakan, Muhammad Izuan Kamaruddin, 37, (buruh) manakala masing-masing pekerja kilang, Muhamad Zul Irfan Muhamad Hamad, 24, serta Mohd Hafiz Abu Bakar, 24 dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mahkamah menjatuhi kesemua tertuduh dihukum enam bulan penjara bagi setiap kesalahan dan ia berjalan serentak bermula tarikh tangkap iaitu 11 November lalu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa menyimpan harta curi iaitu kad Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), kotak butang dan pemacu kilat USB bernilai lebih RM20 kepunyaan seorang lelaki berusia 60 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, empat lelaki itu didakwa memiliki harta curi iaitu dua beg dan lima kad termasuk untuk rawatan hospital milik beberapa individu lain, dengan cara mengambilnya daripada seorang wanita berusia 44 tahun.

Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsapuri di Seksyen 20 di sini, pada jam 12.03 tengah malam, 11 November lalu.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam mahkamah berasingan di hadapan Majistret, Farah Rosnan dan Muhammad Syafiq Sulaiman, kesemua tertuduh turut mengaku bersalah atas enam pertuduhan sama dan dituduh bawah seksyen sama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Zul Irfan, Muhammad Hafiz serta Muhammad Izuan turut didakwa memiliki methamphetamine seberat antara 1.65 sehingga 2.85 gram (g).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.

Mohammad Aiman yang dituduh memiliki syabu seberat 11.68g pula, dituduh mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama berdepan hukuman penjara hingga lima tahun dan sembilan sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 4 Disember ini dan 23 Januari tahun depan untuk fakta kes dan jatuh hukum bagi kes-kes tersebut dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM11,500 hingga RM13,500.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yussof, Nurul Farah Sofea Norazman dan Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tindakan suspek memanjat bumbung kediaman flat di Seksyen 20, Shah Alam untuk meloloskan diri gagal selepas diberkas polis pada November lalu.
Tindakan suspek memanjat bumbung kediaman flat di Seksyen 20, Shah Alam untuk meloloskan diri gagal selepas diberkas polis pada November lalu.

Pada 12 November lalu, Sinar Harian melaporkan, tindakan nekad seorang suspek kes pecah rumah memanjat bumbung perumahan flat di Seksyen 20, di sini untuk meloloskan diri hanya sia-sia selepas dia dicekup polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, suspek lelaki tempatan itu berjaya diberkas dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam pada jam 12.03 tengah malam.

Menurutnya, operasi di tempat tinggal suspek ini turut berjaya menahan empat lagi individu iaitu tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand.

Katanya, siasatan mendapati geng itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan terdapat tiga kes di sini.