Penjaga lelaki sabar kendali kanak-kanak agresif

Muhammad Faris sentiasa berusaha memastikan kanak-kanak mencuba perkara baharu.
Muhammad Faris sentiasa berusaha memastikan kanak-kanak mencuba perkara baharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tidak ramai lelaki yang bekerja menguruskan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) terutama melibatkan golongan agresif atau tantrum.

Beberapa penjaga lelaki yang ditemui berpendapat kesabaran merupakan kunci utama untuk menjaga kanak-kanak OKU dalam kategori itu.

Bagi Muhd Shafik Musmulyadi, 23, perkara utama yang perlu diketahui oleh guru ialah kehendak kanak-kanak terbabit kerana ia menjadi punca mereka bersikap agresif secara tiba-tiba.

Beliau juga mengakui pada mulanya sukar mendekati golongan itu tetapi selepas beberapa minggu mulai faham sikap mereka.

Muhd Shafik yang baru dua bulan bekerja di sebuah pusat penjagaan berkaitan sudah mula belajar mengenai emosi dan tingkah laku kanak-kanak terbabit.

"Mereka tidak boleh bercakap dan penting bagi saya memahami kehendak anak-anak di bawah jagaan saya jika mendengar jeritan atau tangisan secara tiba-tiba," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muhd Shafik juga pada mulanya kurang berminat dengan kanak-kanak tetapi kini sudah mula serasi dengan tugasnya selepas berpegang kepada prinsip 'ilmu yang dicurahkan pasti memberi pahala dan keberkatan'.

Seorang lagi guru, Muhammad Faris Azizan, 23, yang perlu menjaga kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun berkongsi pada mulanya tidak tahan sabar menghadapi karenah 'luar biasa' kanak-kanak terbabit.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang sudah dua tahun bekerja di sebuah pusat jagaan kanak-kanak milik abangnya kini sudah bijak menangani golongan itu.

Menurut Muhammad Faris, masa yang dihabiskan lebih 12 jam bersama golongan itu memberi banyak manfaat untuk terus berkecimpung dalam bidang itu.

Dr Mohd Zulkifli (duduk, dua dari kiri) berkongsi ilmu mengenai kanak-kanak OKU bersama guru dan ibu bapa.
Dr Mohd Zulkifli (duduk, dua dari kiri) berkongsi ilmu mengenai kanak-kanak OKU bersama guru dan ibu bapa.

"Sebenarnya kanak-kanak ini tidak memahami tindakan yang dilakukan. Jadi kami perlu sabar dan berehat seketika untuk menenangkan diri," katanya.

Muhammad Faris juga mengakui belajar sesuatu yang baharu daripada golongan istimewa itu.

"Ada masanya saya perlu berdepan dengan kanak-kanak yang terlalu agresif iaitu menghentakkan kepala di dinding," katanya.

Sementara itu, guru wanita Zetty Zamira Saikidol, 39, yang sudah hampir tiga tahun menjaga kanak-kanak tantrum berkata, golongan itu memerlukan terapi setiap hari bagi mengurangkan tindakan agresif.

Jelasnya, guru juga tidak boleh membezakan golongan berkenaan kerana mereka ada keistimewaan tersendiri.

"Banyak faktor boleh mengakibatkan mereka berubah sikap, antaranya ruang yang padat dan cuaca.

"Bagaimanapun kami anggap kanak-kanak ini istimewa dan ada cara untuk menenangkannya termasuk zikir dan terapi yang sesuai setiap hari," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Transformasi OKU (PTO) Universiti Sains Malaysia (USM) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, pusat itu banyak memberi pendedahan kepada guru dan ibu bapa mengenai simptom kanak-kanak yang mengalami masalah tingkah laku.

"Kita turut membantu mereka membuat penilaian dan intervensi untuk mengendalikan kanak-kanak yang mengalami masalah tingkah laku tantrum," katanya.