Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat

Pelajar SM Imtiaz Kuala Nerus dipindahkan ke PPS oleh anggota penyelamat selepas kawasan sekitar pusat pengajian itu dinaiki air.
Pelajar SM Imtiaz Kuala Nerus dipindahkan ke PPS oleh anggota penyelamat selepas kawasan sekitar pusat pengajian itu dinaiki air.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hari ketiga banjir gelombang pertama di Terengganu menyaksikan peningkatan jumlah mangsa kepada seramai 4,787 orang melibatkan enam daerah yang dipindahkan ke lokasi selamat.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sehingga jam 8 pagi Rabu, sebanyak 32 buah pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan seramai 1,260 keluarga yang terjejas akibat bencana itu.

Antara daerah terlibat ialah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Marang, Besut dan Dungun.

Jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan ialah di daerah Kuala Nerus melibatkan 1,695 mangsa dikuti Marang (1,251) dan Kuala Terengganu (1,137).

Daerah Dungun dan Besut antara daerah baharu dilanda banjir bermula lewat petang dan malam tadi dengan merekodkan seramai 696 mangsa di kedua-dua kawasan.

Mangsa banjir dipindahkan ke PPS oleh anggota penyelamat.
Mangsa banjir dipindahkan ke PPS oleh anggota penyelamat.

"Sebanyak 14 PPS diaktifkan di daerah Kuala Nerus melibatkan Dewan Serbaguna Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana, Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, Dewan Serbaguna Wakaf Catur, SK Bukit Nenas, SK Teluk Ketapang, Dewan Sivik Batu Rakit, SK Tok Jembal, SK Gong Badak, Surau Kg Mak Jintan, SK Padang Air, Dewan Taman Perumahan Wakaf Tengah, SK Seberang Takir dan SK Kompleks Gong Badak.

"Di Marang pula, jumlah mangsa ialah seramai 1,251 orang ditempatkan di tujuh PPS iaitu di SK Bukit Gasing, SK Rusila, SK Rawai, SMK Mercahang, SMK Seri Payung, SK Marang dan SMK Seberang Marang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi Kuala Terengganu seramai 1,137 mangsa dari 332 keluarga ditempatkan lima buah PPS di SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang, SK Gong Tok Nasek dan SK Rengah Bekah," kata kenyatan itu.

Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat dan situasi semasa banjir melalui laman web JPS di pautan publicinfobanjir.water.gov.my, facebook @PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir.

Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga jam 8 pagi Rabu, parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus merekodkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 3.8 meter.

Selain itu, tiga sungai iaitu Sungai Terengganu di jambatan angkat; Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus dan Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik, Kemaman berada pada tahap waspada.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!