7 ahli Parlimen Muslim UK tolak gencatan senjata

Dari kiri: Sajid, Saqib, Rehman, Rushanara, Shabana, Tulip dan Nusrat tidak menyokong gencatan senjata segera di Genting Gaza. - Foto Agensi
Dari kiri: Sajid, Saqib, Rehman, Rushanara, Shabana, Tulip dan Nusrat tidak menyokong gencatan senjata segera di Genting Gaza. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Keputusan undian bagi gencatan senjata segera di Genting Gaza telah mendedahkan sikap hipokrit beberapa ahli Parlimen United Kingdom (UK) beragama Islam berhubung krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Palestin.

Pada Khamis, ahli Parlimen UK mengundi 293 berbanding 125 untuk menolak usul yang dicadangkan oleh Parti Kebangsaan Scotland (SNP).

Usul berkenaan menyeru kerajaan untuk bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa mendesak Israel menghentikan pengeboman yang meragut nyawa orang awam terutama kanak-kanak di Gaza.

Paling mengecewakan apabila tujuh daripada 19 ahli Parlimen beragama Islam menolak usul tersebut.

Sajid Javid daripada Parti Konservatif yang juga individu Muslim pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan UK pada 2021 mengetuai senarai tersebut.

Beliau ialah anak pendatang Muslim dari Pakistan dan terkenal dengan sentimen pro-Israel.

Ahli Parlimen beragama Islam lain yang menolak gencatan senjata itu ialah Saqib Bhatti dan Rehman Chishti daripada Parti Konservatif, manakala Rushanara Ali (Parti Buruh), Shabana Mahmood (Parti Buruh), Tulip Siddiq (Parti Buruh) serta Nusrat Ghani (Konsevatif) berkecuali.

Rushanara dilabel hipokrit

Artikel Berkaitan:

Beratus-ratus pelajar berarak ke pejabat Rushanara Ali selepas Ahli Parlimen Bethnal Green itu tidak mengundi gencatan senjata.

Rushanara yang berketurunan Bangladesh sebelum ini membuat beberapa kenyataan akan berbuat demikian.

Pada sebelah malamnya, orang ramai berkumpul di luar pejabat kawasan pilihan rayanya di timur London sambil melaungkan ‘Rushanara Ali, awak memang memalukan’ sambil memegang sepanduk ‘Bukan ahli Parlimen saya. Darah di tanganmu’.

Menjelaskan tindakannya di platform X, Rushanara menulis selepas undian: “Saya telah lama menyokong gencatan senjata. Malam ini saya telah berkecuali daripada mengundi usul SNP.”Malah, Rushanara bersedia untuk meletak jawatan sekiranya itu yang dimahukan pengundi di Bethnal Green.

Sementara itu, Majlis Islam Britain (MCB) kecewa dengan keputusan Parlimen menolak usul gencatan senjata tersebut kerana percaya pengaruh diplomatik Britain mampu menghentikan pembunuhan kanak-kanak yang tidak bersalah dan hukuman kolektif terhadap lebih dua juta orang awam.

Amat memalukan

“Sejarah akan menilai pemimpin kita, sama seperti 20 tahun lalu dengan pembohongan senjata pemusnah di Iraq.

“Kami memuji mereka yang mengundi untuk keamanan terutamanya mereka yang menghadapi pemecatan kerana memilih kemanusiaan berbanding politik,” menurut kenyataan MCB.

Bagi Mubid Dawood, pegawai di Masjid Noor, Burnley, keputusan ahli Parlimen beragama Islam untuk tidak mengundi gencatan senjata di Gaza adalah sesuatu yang amat memalukan.

“Pemimpin yang dipilih tidak mewakili suara majoriti pengundi yang mahukan gencatan senjata segera diadakan di Gaza.

“Untuk pilihan raya akan datang, pemimpin-pemimpin ini tidak lagi akan dipilih,” katanya. - Agensi