Malaysia raih pelaburan bernilai RM63.02 bilion di AS - PM

Anwar Ibrahim - Foto: Bernama
Anwar Ibrahim - Foto: Bernama
A
A
A

SAN FRANCISCO - [DIKEMAS KINI] Malaysia telah meraih pelaburan sebanyak RM63.02 bilion bagi cadangan pelaburan di Amerika Syarikat (AS) terutamanya daripada syarikat gergasi teknologi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada jumlah itu, pelaburan sebanyak RM8.33 bilion adalah daripada misi perdagangan dan pelaburan ke AS yang dianjurkan sebelum bermulanya mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), manakala pelaburan selebihnya adalah daripada mesyuarat satu dengan satu yang diadakan oleh Anwar di sini.

Pelaburan bagi misi perdagangan ini adalah daripada Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research.

"(Pelaburan) selebihnya telah diraih daripada pertemuan berasingan dengan gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft, TikTok dan TPG,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatannya ke AS pada Sabtu.

Mengulas selanjutnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyifatkan pelaburan TikTok sebagai agak besar dan ini turut bergantung kepada tempoh pantas Malaysia dalam meluluskan kesemua pelaburan berkenaan.

"Dalam mempertimbang apa-apa juga ruang kelulusan dan insentif yang diperlukan, saya lebih menekankan soal pemindahan teknologi dan latihan. Ini supaya kita ada tahap keupayaan dalam bidang diterokai yang lebih canggih dan mencabar," kata beliau.

Malaysia juga aktif dalam menarik kehadiran kalangan penggiat kenderaan elektrik (EV), termasuk syarikat terkemuka seperti Tesla.

"Ya, beliau (Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk) positif mengenai kehadiran Tesla di Malaysia," katanya ketika ditanya mengenai panggilan video beliau bersama Musk.

Artikel Berkaitan:

Malah, Anwar turut menganggap kehadiran Tesla di Malaysia sebagai satu petunjuk yang baik terhadap negara ini selain turut memberi manfaat dari segi pertambahan jumlah Stesen Pengecas Super bagi kenderaan EV.

Pendirian Malaysia mengenai kepentingan usaha menarik pelaburan ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2023, khususnya berkaitan dengan aspek dasar pelaburan yang jelas dan konsisten.

"Pelaksanaan polisi dan strategi ini yang memainkan peranan dalam menarik pelaburan ke dalam negara.

"Keperluan mewujudkan kemudahan pusat sehenti mengenai pelaburan adalah penting, namun agensi sehenti ini juga perlu lebih proaktif dalam memudah cara dan mempercepat proses sert prosedur pelaksanaan berkaitan pelaburan," kata beliau.

Merujuk isu konflik AS dan China, Anwar menegaskan bahawa Malaysia akan sentiasa mengamalkan pendirian berkecuali berikutan kedudukan kedua-dua negara berkenaan sebagai rakan dagang penting untuk negara ini.

"Saya telah menegaskan bahawa Malaysia dan negara-negara Asean secara umumnya tidak harus diheret dan terlibat dalam perang dingin antara kuasa-kuasa besar dunia.

Pada kunjungan itu, Perdana Menteri telah diiringi oleh isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan anggota delegasi itu telah disambut oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adnan.

"Saya gembira kerana kita berpeluang untuk menyatakan pandangan, kedudukan kita dan dapat terlibat menerusi perbincangan secara erat untuk mendapatkan pemahaman dan kerjasama," kata beliau.

Perdana Menteri turut menyertai Majlis Pemimpin-Pemimpin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik Bagi Kemakmuran (IPEF) yang telah dihoskan oleh Presiden AS Joseph Biden pada 16 November 2023.

Majlis tersebut sebagai mengiktiraf kejayaan menteri-menteri IPEF menandatangani Perjanjian Teras 2 (Rantaian Bekalan) pada 14 November 2023.

Anwar berkata, kalangan pemimpin negara anggota IPEF turut mengambil maklum bahawa rundingan Teras 3 (Ekonomi Lestari) dan Teras 4 (Ekonomi Saksama) telah dimuktamadkan secara substantif, manakala rundingan Teras 1 (Perdagangan) telah mencapai kemajuan yang baik.

"Secara keseluruhannya, Malaysia mengalu-alukan kemajuan tersebut dan akan terus bekerjasama dengan semua negara-negara IPEF bagi memuktamadkan rundingan Teras 1 untuk manfaat rantau IPEF secara kolektif," kata Perdana Menteri. - Bernama