ADUN pembangkang harap peruntukan sama rata diteruskan

Norhaslinda (kanan) menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan kepada penerima sempena Program CSR DPMP di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Teluk Muroh di sini pada Sabtu.
Norhaslinda (kanan) menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan kepada penerima sempena Program CSR DPMP di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Teluk Muroh di sini pada Sabtu.
A
A
A

LUMUT - Menjelang Belanjawan Negeri Perak 2024 yang dijadual dibentang pada Disember depan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mengharapkan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat di Perak dikekalkan seperti tahun ini.

ADUN Pangkor, Norhaslinda Zakaria berkata, peruntukan sama rata kepada semua ADUN sama ada kerajaan atau pembangkang yang diberikan pada Belanjawan Negeri tahun ini amat membantu wakil rakyat dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan di kawasan masing-masing.

Menurutnya, pemberian peruntukan sama rata oleh kerajaan negeri itu memberi manfaat kepada semua rakyat.

"Pemberian peruntukan sama rata kepada semua ADUN ini menjadikan kerajaan negeri Perak sebagai contoh buat negeri-negeri lain. Ia tindakan yang sangat baik kerana memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya amat berharap agar ia diteruskan pada belanjawan tahun hadapan. Jika tidak dapat ditambah, kekalkan jumlah seperti mana tahun ini pun alhamdulillah," katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP) di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Teluk Muroh di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden DPMP, Datuk Zahar Hashim.

Sementara itu, Norhaslinda berkata, peruntukan disediakan pusat khidmatnya lebih tertumpu kepada bantuan berkaitan pendidikan dan kebajikan.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada golongan kurang berkemampuan atau B40 untuk menerima sumbangan selain mempermudahkan urusan permohonan mendapatkan bantuan daripada agensi kebajikan seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menjalankan program CSR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor seperti dilakukan DPMP.

Ketika Belanjawan Negeri Perak 2023, kesemua 59 ADUN diberikan peruntukan sama rata berjumlah RM300,000 setahun bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program dan bekalan selain RM40,000 disediakan bagi empat program perayaan utama.