Jalan pintas bawa isu negeri ke Persekutuan

Ahmad Samsuri (dua dari kanan) bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri) ketika Majlis Pengisytiharan Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman di Kemaman Arena Square pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Samsuri (dua dari kanan) bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri) ketika Majlis Pengisytiharan Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman di Kemaman Arena Square pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Strategi meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) merupakan tindakan signifikan untuk membawa isu negeri kepada kerajaan Persekutuan dengan mudah.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ia juga mampu memastikan pembangkang dapat membahaskan masalah pembangunan dengan baik di Parlimen.


Noor Nirwandy
Noor Nirwandy

“Pas tidak mahu mengambil risiko yang besar kerana ingin mengekalkan momentum kemenangan seperti pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini dan meletakkan calon popular memberi kelebihan kepada mereka.

“Tindakan meletakkan calon yang mempunyai daya tarikan yang besar mampu mengatasi kemampuan calon daripada Barisan Nasional (BN) seterusnya memberi tekanan psikologi untuk meraih kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Pas mencalonkan Ahmad Samsuri bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman pada PRK kawasan itu.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon Pas PRK Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square.

Noor Nirwandy berkata, walaupun strategi itu dilihat memberi kelebihan kepada Pas, namun dari segi kepimpinan negara ia sudah tidak lagi demokratik dengan mencalonkan individu yang sama untuk kerusi Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, perkara itu perlu dilihat dan dikaji semula bagi memastikan pembaharuan dalam politik terus dilakukan bagi menjaga kepentingan masyarakat dan negara.

Beliau berkata, Pas perlu lebih berani dengan menampilkan calon baharu supaya lebih terbuka dalam memilih pemimpin.

“Walaupun terdapat negeri lain yang melakukan perkara yang sama, tetapi kita mahukan pembaharuan terhadap individu yang boleh menunjukkan keupayaan dan kebolehan mereka dalam pimpinan negeri dan juga kerajaan Persekutuan.

“Trend ini perlu dilihat semula kerana ia jelas memberi kekurangan dari segi keyakinan masyarakat terhadap amalan demokrasi politik di Malaysia apabila ia mula dikuasai atau dikendalikan oleh golongan tertentu,” katanya.

Petugas SPR melakukan kerja-kerja persediaan menjelang hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon PRK Kemaman, Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Jumaat.
Petugas SPR melakukan kerja-kerja persediaan menjelang hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon PRK Kemaman, Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada Jumaat.

SPR menetapkan 28 November ini sebagai tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember nanti bagi hari mengundi susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).