Kerajaan giat tangani isu bekalan air, elektrik Labuan

Mohd Zuki (empat dari kiri) mendengar taklimat daripada Ketua Bahagian Bekalan Air Labuan (BBAL) Trinil Indah Puspita Herry Sunjoto (dua, kanan) semasa membuat lawatan kerja di Terminal Tangki Simpanan (BBAL) Pulau Enoe hari ini. - Foto Bernama
Mohd Zuki (empat dari kiri) mendengar taklimat daripada Ketua Bahagian Bekalan Air Labuan (BBAL) Trinil Indah Puspita Herry Sunjoto (dua, kanan) semasa membuat lawatan kerja di Terminal Tangki Simpanan (BBAL) Pulau Enoe hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Isu gangguan bekalan air dan elektrik yang berlarutan sejak sekian lama di pulau bebas cukai ini sedang giat ditangani, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, kerajaan menyedari cabaran dihadapi rakyat Labuan dan turut mengakui menerima pelbagai rungutan berkaitan gangguan bekalan air dan elektrik.

Mohd Zuki bagaimanapun menekankan bahawa perbincangan sedang giat dijalankan untuk mencari penyelesaian menyeluruh.

"... dan penyelesaian (terutama mengenai gangguan bekalan air) telah dikenal pasti, namun tindakan-tindakan itu perlu masa dan kami harap penduduk Labuan boleh bersama kami dan bersabar," katanya yang dalam lawatan kerja sehari di sini.

Mohd Zuki Ali diberi taklimat disusuli perbincangan bersama Jabatan Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Stesen Janakuasa Palau-Patau bagi mencari penyelesaian terbaik melibatkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan serta Sabah dan Labuan.

Mohd Zuki (depan) membuat lawatan kerja di Stesen Janakuasa Patau-Patau, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Labuan hari ini. - Foto Bernama
Mohd Zuki (depan) membuat lawatan kerja di Stesen Janakuasa Patau-Patau, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Labuan hari ini. - Foto Bernama

Mohd Zuki turut menekankan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani masalah yang dihadapi Labuan itu termasuk peruntukan tambahan lebih RM300 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani khusus bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air.

"Apa yang penting ialah melaksanakan arahan itu dan menggunakan belanjawan yang diperuntukkan secara berkesan. Ada faktor yang menyumbang kepada gangguan bekalan air termasuk paip lama berusia lebih 30 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Perdana Menteri akan ke Labuan untuk meneliti sendiri isu itu.

Mohd Zuki berkata, penting bagi pelbagai pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu bekalan air dan kuasa dihadapi Labuan.

Belanjawan 2024 Malaysia Madani menyediakan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Labuan. - Bernama