PRN: Pas luaskan penguasaan di Pulau Pinang

Dari kiri: Mohd Yusni, calon Barisan Nasional bagi DUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan calon PN DUN Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali meraikan kemenangan dalam PRN di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Millenium pada Sabtu. - Foto Bernama
Dari kiri: Mohd Yusni, calon Barisan Nasional bagi DUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan calon PN DUN Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali meraikan kemenangan dalam PRN di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Millenium pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Pas berjaya meluaskan penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang apabila menang di tujuh daripada 10 kerusi ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, selain dapat mengekalkan DUN Penaga, parti itu menang di Pinang Tunggal, Permatang Berangan, Permatang Pasir, Sungai Bakap dan Pulau Betong.

Menurutnya, pertaruhan Pas meletakkan Ketua Pesuruhjaya negeri, Muhammad Fauzi Yusoff di DUN Sungai Dua juga menjadi apabila menang menewaskan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin.

"Walaupun tidak mampu mengambil alih kerajaan negeri, keputusan ini sudah cukup mengembirakan kerana inilah permulaan menandakan kita telah mencuba.

"Inilah dinamakan gelombang rakyat yang memberi isyarat jelas akan penolakan kepimpinan dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada Sinar Harian.

Tiga calon Pas yang tewas merupakan Ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas bertanding di DUN Sungai Puyu, Bagan Dalam dan Jawi.

Mohd Yusni yang menang di DUN Penaga berkata, peningkatan kerusi dan undi itu sudah dijangka berdasarkan pencapaian cemerlang Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, penambahan kerusi itu juga seakan menebus kekecewaan PN berikutan pengisytiharan kekosongan empat kerusi diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd Isyaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Artikel Berkaitan:

"Walaupun ada yang tidak menang, tidak mengapa kerana dari sudut nisbah undi diberi kepada PN telah meningkat. Kali ini kita tampil lebih banyak kerusi," katanya.

Berdasarkan keputusan PRN diumum pada Sabtu, PN menang 11 daripada keseluruhan 40 kerusi DUN Pulau Pinang dengan tujuh diwakili Pas dan Bersatu (empat).

Bersatu menang di DUN Telok Ayer Tawar, Seberang Jaya, Penanti dan Telok Bahang.

Gabungan PH-BN pula memenangi 29 kerusi dengan dua daripadanya menerusi calon BN.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!