Ketua Pembangkang Pulau Pinang masih belum diputuskan

Ketua Pembangkang Pulau Pinang akan ditentukan sebelum Persidangan DUN akan datang pada November nanti. Gambar kecil: Muhammad Fauzi
Ketua Pembangkang Pulau Pinang akan ditentukan sebelum Persidangan DUN akan datang pada November nanti. Gambar kecil: Muhammad Fauzi
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Pembangkang Pulau Pinang akan ditentukan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang pada November nanti.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, perkara itu masih dalam proses perbincangan.

Beliau berkata, beberapa nama telah dikemukakan kepada pimpinan PN dalam kalangan 11 wakil rakyat Pas dan Bersatu di negeri ini.

Antara nama yang dikemukakan ialah beliau sendiri dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pulau Pinang, Zulkefli Bakar.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan PN untuk memutuskan perkara itu.

"Kita akan maklumkan kepada Dewan siapa yang akan menjadi Ketua Pembangkang negeri sebelum persidangan akan datang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa.

Ditanya sama ada terdapat sebarang isu dalam pemilihan bagi jawatan tersebut, Muhammad Fauzi bagaimanapun menafikannya.

"Tidak ada (sebarang isu), Ketua Pembangkang negeri lain seperti Selangor dan Negeri Sembilan juga sedang diputuskan oleh pucuk pimpinan PN," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah beliau yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pimpinan Pusat PN untuk diputuskan.

Sebelum ini, pada Mac lalu, PN Pulau Pinang menamakan bekas ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq sebagai Ketua Pembangkang untuk DUN Pulau Pinang.

Perkara itu dibuat selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada gabungan parti politik antaranya Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sebelum ini, jawatan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang dipegang ADUN Sungai Dua dari BN, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor.

Bagi penggal ini, Pas mempunyai tujuh ADUN manakala Bersatu mempunyai empat.

PN menang di 11 daripada 40 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya negeri ke-15 (PRN15) Pulau Pinang iaitu Penaga; Permatang Berangan; Pinang Tunggal; Sungai Dua; Telok Ayer Tawar; Pulau Betong; Telok Bahang; Sungai Bakap; Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.