Pasukan petugas pantau salah laku, tahap kesihatan pelajar

Rahmad (lima dari kiri) menunjukkan jersi yang disumbangkan TNB di SMK Seri Kota di Bukit Serindit, di Melaka, pada Selasa.
Rahmad (lima dari kiri) menunjukkan jersi yang disumbangkan TNB di SMK Seri Kota di Bukit Serindit, di Melaka, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Pasukan petugas di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka akan terus memantau trend peningkatan kes tekanan mental dan kemurungan melibatkan pelajar sekolah di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, dengan adanya pasukan petugas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, dapat mengekang elemen-elemen negatif di sekolah termasuk kes buli dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, peranan petugas khas itu juga akan diperkasakan lagi susulan dua kes kematian pelajar berlaku pada bulan ini membabitkan mangsa mempunyai rekod rawatan psikiatri.

"Pasukan petugas ini untuk menangani kes buli, salah laku dan memantau tahap kesihatan (mental).

"Berkaitan insiden yang berlaku baru-baru ini, mungkin ada elemen ini sebab itu kita gerakkan pasukan petugas untuk pergi ke sekolah-sekolah terutama sekolah berasrama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penyampaian Sumbangan Penajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Penyerahan Jersi Pasukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota di Bukit Serindit, di sini, pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Ayer Molek berkata, Melaka adalah negeri pertama yang mewujudkan pasukan petugas berkenaan sejak tiga tahun lalu dalam mengekang kes-kes negatif melibatkan pelajar.

Ujar beliau, kaedah berbentuk tazkirah, amaran serta peringatan kepada pelajar itu menunjukkan keberkesanan malah tidak merekodkan kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti buli dalam tempoh enam bulan hingga setahun di sekolah yang telah diadakan pasukan petugas.

"Tapi selepas itu berlaku pertukaran pelajar baharu ia akan berlaku sedikit-sedikit semula.

"Sebab itu kita perlu selalu pergi ke sekolah-sekolah untuk memberikan peringatan dan nasihat kepada pelajar," katanya.

Sinar Harian pada Khamis lalu, menyiarkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah menengah di Durian Daun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.