'Ahli Parlimen Pas tidak termakan rasuah, sogokan' - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (empat dari kanan) merakam gambar bersama penerima sempena majlis menyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Penggal 1 Tahun 2023/2024 DUN Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang pada Ahad.
Ahmad Samsuri (empat dari kanan) merakam gambar bersama penerima sempena majlis menyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Penggal 1 Tahun 2023/2024 DUN Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang pada Ahad.
A
A
A

MARANG - Pas yakin ahli Parlimen parti itu kekal 'bertahan' dan tidak sesekali terjebak atau termakan dengan sebarang bentuk sogokan, rasuah serta perjanjian yang menjanjikan habuan dalam pelbagai bentuk.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap ahli Parlimen yang diberi kepercayaan oleh parti itu mempunyai keteguhan, jati diri yang tinggi dan tidak mudah diperdaya.

"Sekian lama kita (ahli Parlimen Pas) boleh bertahan puluhan tahun tanpa peruntukan walaupun tidak ada Akta Lompat Parti lagi pada waktu itu.

"Sudah tentulah ini berkait dengan jati diri ahli Parlimen berkenaan. Saya percaya mereka (ahli Parlimen Bersatu) pada peringkat ini tidak melompat parti tetapi hanya menyatakan sokongan atas sebab-sebab yang kita sedia maklum," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan empat ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini bertindak menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mendedahkan terdapat ahli Parlimen Pas yang sebelum ini pernah 'didekati' individu tertentu yang menawarkan pelbagai janji namun tidak berjaya.

"Kita akan sentiasa berusaha dan berharap tidak ada daripada ahli Parlimen Pas yang terjebak. Mungkin ada di antara mereka yang cuba didekati dengan pelbagai cara seolah-olah nampak ada legitimasi, ada yang dihubungi kononnya ingin lakukan pembangunan hotel di Parlimen mereka, mereka pun bertemulah. Bila bertemu rupanya bukan 'tajuk' hotel tetapi 'tajuk' lain.

"Jadi ini antara taktik-taktik lama yang ditimbulkan balik. Insya-ALLAH kita cuba bertahan. Adakah kita ingin kembali ke belakang dengan cara memberi tekanan sebegini, tentulah kita tak akan maju dan tak akan bergerak ke hadapan kalau politik cara lama ini terus berlaku dalam negara kita," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Samsuri turut memberikan jaminan bahawa isu berkenaan tidak menjejaskan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

"PRK Kemaman lebih berkait kepada hal dalaman negeri, apa yang berlaku peringkat Persekutuan itu kita sedia maklum kalau tiada apa-apa tekanan daripada mana-mana pihak tentulah mereka ini tidak akan menyatakan sokongan tersebut.

"Di peringkat PN dan parti-parti komponen dalaman PN sama ada Pas dan Bersatu, kita kesal dengan apa yang berlaku.

"Walaupun mereka tidak isytihar lompat parti kerana terikat dengan Akta Lompat Parti, sokongan yang diberikan untuk mendapatkan peruntukan tentulah satu perkara yang tak wajar dilakukan," katanya.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan tindakan tersebut pada 12 Oktober disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dua minggu kemudian.