Serangan Hospital al-Shifa 'ibu segala skandal'

Kekejaman Israel berterusan apabila menyasarkan Hospital al-Shifa di Gaza. - Foto AFP
Kekejaman Israel berterusan apabila menyasarkan Hospital al-Shifa di Gaza. - Foto AFP
A
A
A

KONFLIK Israel-Palestin nampaknya sudah beralih kepada pembunuhan orang awam yang bertentangan dengan hak asasi manusia.

Tindakan jahat Israel menyerang Hospital al-Shifa di Gaza jelas melanggar Konvensyen Geneva yang menetapkan sebarang bentuk peperangan tidak boleh merosakkan kemudahan awam seperti hospital, sekolah, rumah, loji air dan stesen elektrik.

Tujuan utama undang-undang ini adalah untuk melindungi orang awam, petugas kesihatan, ahli perubatan profesional dan anggota tentera yang tidak lagi boleh bertempur.

Sekiranya malapetaka kekejaman Israel ini berterusan, tidak mustahil kita akan melihat penyembelihan terbuka dalam sejarah tamadun moden selepas Perang Dunia Kedua.

Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 tidak boleh menjadi jalan penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin kerana persidangan berkenaan lebih kepada ekonomi.

Selepas sidang tergempar PBB pada 27 Oktober lalu, krisis ini sepatutnya dapat diredakan, namun sebaliknya yang berlaku apabila rejim Zionis semakin mengganas di Gaza.

Matlamat utama mereka adalah untuk menawan Gaza City dan utara Gaza, seterusnya untuk membina tembok pemisah bagi memudahkan mereka mengawal kawasan tersebut.

Terbaharu, Israel cuba membuat propaganda jahat menuduh Hamas menggunakan hospital sebagai sebagai ibu pejabat, kononnya untuk menghalalkan operasi tentera di Hospital al-Shifa di Gaza City.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan Askar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menemui senjata dalam hospital itu bagaimanapun boleh dipertikai kerana dalam video tersebut kelengkapan senjata itu seperti baru diletakkan di dalam rak hospital.

Mustafa Barghouti, pemimpin Inisiatif Nasional Palestin (PNI) turut menyifatkan serangan terhadap Hospital al-Shifa adalah ‘ibu segala skandal’ yang telah menjejaskan keselamatan pesakit dan petugas hospital.

Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor pula berkata, apa yang sedang berlaku sekarang jelas menunjukkan Israel mahu memusnahkan dan menghalau rakyat Gaza keluar dari wilayah tersebut.

Krisis kemanusiaan ini dijangka akan berlarutan dalam tempoh yang lama. Teruslah berdoa supaya Palestin diberikan kekuatan menghadapi bencana kemanusiaan ini.