Hospital al-Shifa jadi 'pusat pertempuran' baharu

Hospital al-Shifa di Genting Gaza berdepan detik cemas dan mendebarkan setelah ia digempur rejim Zionis pada Rabu.
Hospital al-Shifa di Genting Gaza berdepan detik cemas dan mendebarkan setelah ia digempur rejim Zionis pada Rabu.
A
A
A

GENTING GAZA - Hospital terbesar di Genting Gaza berdepan detik cemas dan mendebarkan setelah ia digempur rejim Zionis pada Rabu.

Doktor di Hospital al-Shifa turut berkongsi pengalaman mengerikan ketika menghadapi tembakan bertalu-talu dilepaskan anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menyertai operasi pencerobohan tersebut.

“Rejim Zionis dakwa serbuan itu dilancarkan kerana bahagian bawah tanah kompleks ini menempatkan ‘pusat perintah’ Hamas dan pejuang gerakan itu menggunakan terowong bersambung untuk menahan tawanan perang serta tempat simpanan senjata. Ia sememangnya dakwaan tidak berasas.

“Pengeboman dan melepaskan tembakan sekitar hospital adalah tindakan yang sangat tidak wajar,” tegas Dr Ahmed El Mokhallalati.

Menurutnya, kereta kebal dan kenderaan perisai milik IDF diparkir di hadapan jabatan kecemasan hingga mengundang rasa takut kepada kakitangan hospital berkenaan.

Kereta kebal dan kenderaan perisai milik IDF diparkir di hadapan jabatan kecemasan hingga mengundang rasa takut kepada kakitangan hospital. - Foto AFP
Kereta kebal dan kenderaan perisai milik IDF diparkir di hadapan jabatan kecemasan hingga mengundang rasa takut kepada kakitangan hospital. - Foto AFP

“Semua jenis senjata digunakan oleh rejim Zionis. Mereka sasarkan wad pesakit dan hospital secara langsung. Kami cuba mengelakkan diri untuk berada hampir dengan tingkap sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya lagi.

Desakan pelaksanaan gencatan senjata semakin meningkat sejak akhir-akhir ini dan nasib malang al-Shifa turut menjadi fokus kebimbangan utama banyak pihak kerana ia juga menjadi tempat berlindung ribuan penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal.

Artikel Berkaitan:

Ribuan pesakit, staf perubatan dan penduduk Gaza yang menjadi penghuni kompleks perubatan berkenaan dilaporkan terperangkap sejak kempen pengeboman IDF semakin ganas lima minggu lalu.

“Rejim Zionis arah orang awam menyerah diri dan dakwa mereka digunakan oleh Hamas sebagai perisai manusia tetapi kami tahu ia adalah pembohongan besar IDF,” katanya.

Doktor berkenaan juga menceritakan tentang keadaan yang semakin meruncing di al-Shifa setelah kemudahan itu kehabisan bekalan api.

Antaranya adalah prosedur terpaksa dilakukan tanpa ubat bius, ruang koridor dibanjiri keluarga hilang tempat tinggal dan diselubungi bau mayat mereput.

Dibogelkan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) turut menyuarakan rasa khuatir dengan perkembangan konflik itu yang menyasarkan kemudahan kesihatan.

“Saya amat terkejut dengan laporan tentang serbuan IDF ke atas hospital di Gaza.

Perlindungan terhadap bayi baru lahir, pesakit, kakitangan perubatan dan kesemua orang awam wajar menjadi kebimbangan utama. Hospital bukan medan pertempuran,” kata Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths menerusi platform X.

Al-Shifa dikatakan menjadi objektif utama kempen ketenteraan rejim Zionis setelah kompleks perubatan itu dijadikan sebagai ‘pusat pertempuran’ baharu IDF menentang Hamas.

ICRC juga senada dengan PBB yang amat bimbang dengan nasib pesakit dan mangsa cedera, staf perubatan serta orang awam di kompleks berkenaan.

“Sebarang langkah berbahaya perlu dielakkan,” tegas agensi bantuan itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, IDF dalam satu kenyataan mempertahankan tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut dan memberi alasan kononnya anggota mereka bertindak secara profesional untuk mengelak sebarang bahaya atau mencederakan orang awam yang berada di kompleks berkenaan.

Jelasnya, IDF termasuk pasukan perubatan dan penutur bahasa Arab telah menjalani latihan khusus untuk persediaan operasi di kompleks berkenaan dan persekitaran yang sensitif.

“Kesemua lelaki yang berusia 16 tahun ke atas, sila angkat tangan dan keluar dari sini untuk menyerah diri,” laung anggota IDF memberi arahan ketika memasuki bangunan utama al-Shifa.

Kira-kira 1,000 lelaki Palestin diarahkan untuk berkumpul di kawasan pekarangan hospital berkenaan.

Sebahagian daripadanya dibogelkan tanpa belas kasihan untuk pemeriksaan senjata dan bahan letupan pada tubuh mereka.

Menurut laporan BBC, tentera rejim Zionis turut menyerbu dari bilik ke bilik dan menyoal siasat pesakit serta staf perubatan. - Agensi

Info

>Kempen pengeboman rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu telah melumpuhkan kira-kira dua pertiga daripada 36 hospital di wilayah Gaza yang berdepan kepungan haram menyeluruh.

>Antara kemudahan perubatan utama yang jadi sasaran ialah Hospital Indonesia, al-Shifa, al-Quds, al-Rantisi.