'KJ tak sepatutnya salahkan menteri lain' - King Sing

Dari kiri: Tiong King Sing, Khairy Jamaluddin
Dari kiri: Tiong King Sing, Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) yang dicadangkan sebelum ini oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak mempunyai asas yang kukuh untuk dipertahankan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, bekas Ahli Parlimen Rembau itu tidak sepatutnya menyalahkan menteri lain bagi melampiaskan kekecewaan apabila RUU tersebut gagal direalisasikan.

“KJ (Khairy Jamaluddin), anda Menteri Kesihatan yang paling gagal. Anda gagal membuktikan secara konsisten bahawa kanser berpunca daripada tabiat merokok.

“Malah gagal melaksanakan langkah dengan menubuhkan pusat penyelidikan atau institusi berkaitan untuk menganalisis dan menyelidik dengan lebih lanjut mengenai data terperinci pesakit kanser di negara kita.

“Sudah berulang kali saya menyatakan keraguan terhadap RUU tersebut ketika bersidang di Parlimen. Ketika itu, selain tidak memberi jawapan secara terperinci, Khairy juga dilihat tidak pernah menjawab soalan saya berkaitan perkara tersebut secara khusus,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Tambah King Sing, tiada ruang dalam masyarakat bagi penguatkuasaan undang-undang secara paksaan maka desakan Khairy Jamaluddin berhubung RUU itu adalah tidak munasabah dan 'membingungkan'.

Ujarnya, pelaksanaan dalam tekanan tinggi dan tindakan secara paksaan seumpama ibu bapa yang merotan atau menghukum anak mereka tanpa usul periksa.

“Tindak balas beliau (Khairy Jamaluddin) sebagaimana tidak dapat menerima keputusan bahawa RUU ini adalah tidak berpelembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga berulang kali menekankan bahawa saya tidak menyokong atau menggalakkan merokok. Seluruh dunia, termasuk New Zealand pun tidak dapat melaksanakan langkah yang serupa.

“Jadi, mengapakah kita perlu tergesa-gesa dan tidak boleh mengambil pendekatan yang lebih harmoni dan mesra dengan bermula daripada aspek pendidikan dan kesedaran?,” soalnya.

Jelas beliau, ia perlu dipupuk di peringkat pendidikan prasekolah dengan memberi pemahaman kepada kanak-kanak tentang kebahayaan merokok yang secara tidak langsung menyemai kesedaran untuk tidak merokok di usia dewasa.