Tuduhan rasuah berat, King Sing perlu jawab isu NTL libatkan pelawat China - Akmal

Muhamad Akmal
Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing perlu memberi penjelasan sama ada Notis Tolak Kemasukan (NTL) telah dikeluarkan ke atas individu yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas faktor dokumen tidak lengkap.

Gesaan itu dibuat Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh susulan pengakuan King Sing yang terlibat dalam insiden kekecohan di KLIA baru-baru ini.

Menurutnya, dakwaan menteri berkaitan wujudnya kegiatan rasuah di pintu masuk negara itu adalah satu tuduhan yang berat dan perlu dijawab oleh Jabatan Imigresen (JIM).

"Siasatan yang lengkap perlu dijalankan oleh pihak berwajib.

"Tetapi sebelum itu ada beberapa soalan yang perlu diketahui oleh rakyat... adakah notis NTL telah dikeluarkan ke atas individu yang ditahan atas faktor dokumen tidak lengkap?

"Jika notis NTL itu telah dikeluarkan, adakah ia ditarik balik setelah campur tangan pihak ketiga? Jika ditarik balik, atas faktor apakah ia ditarik balik?

"Adakah daripada kesilapan pegawai yang mengeluarkan notis NTL sebelum itu? Ataupun secara tiba-tiba dengan campur tangan pihak ketiga menjadikan dokumen individu ditahan itu terus menjadi lengkap?," soalnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Akmal menambah, King Sing sepatutnya mengetahui garis bidang kuasa menteri dan tidak melakukan tindakan sesuka hati.

"Sekiranya ada sekalipun unsur-unsur rasuah, menteri seharusnya mempunyai banyak cara.

"Paling berkesan adalah boleh terus berhubung dengan YB menteri KDN dan bawa ke dalam mesyuarat kabinet, bukan masuk dan marah sesuka hati pegawai yang sedang bertugas dan menuduh pegawai tanpa bukti yang kukuh," katanya.

Pada Jumaat, King Sing tampil mempertahankan diri selepas laporan sebuah portal mendedahkan seorang menteri menyalah guna kuasa dan membuat kecoh menuntut pelawat China yang ditahan imigresen dibebaskan.

Dalam penjelasannya, King Sing menegaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan Jabatan Imigresen tanpa sebarang sebab.

Kehadiran beliau di KLIA adalah untuk melakukan pemantauan yang membawa kepada 'penemuan' kegiatan rasuah, seperti yang didakwanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA

Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony

Kerajaan, pihak berkuasa digesa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA - Cuepacs

Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA

'Saya sedang menunggu laporan penuh' - Saifuddin Nasution