Malaysia raih satu lagi tiket automatik ke Paris 2024

Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus menjadi taruhan negara untuk memburu podium pada Sukan Olimpik Paris tahun depan. - Foto Agensi (Gambar kecil: Abu Samah)
Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus menjadi taruhan negara untuk memburu podium pada Sukan Olimpik Paris tahun depan. - Foto Agensi (Gambar kecil: Abu Samah)
A
A
A

SELEPAS hampir pasti mengesahkan dua tiket ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis menerusi acara trek, kem skuad berbasikal lebuh raya negara lebih awal dihadiahkan kuota slot berharga untuk beraksi pada temasya sukan terbesar di dunia itu pada tahun depan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab mengesahkan sudah menerima pengesahan tentang tiket kelayakan ke Paris 2024 daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) awal pagi Rabu.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI dan Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh menyampaikan berita gembira kemungkinan skuad berbasikal lebuh raya negara layak ke Sukan Olimpik 2024 pada mesyuarat Exco badan berbasikal kebangsaan itu dua minggu lalu.

Abu Samah berkata: “Kita sudah terima pengesahan daripada UCI. Cerita tentang skuad lebuh raya Malaysia dapat satu slot beraksi di Sukan Olimpik 2024 di Paris pun sudah keluar dalam laman web UCI. Ini bermakna sukan berbasikal Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk terus maju.

“Saya difahamkan UCI akan berhubung terus dengan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk notifikasi kelayakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM pada Rabu.

Dua jaguh trek negara – Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom hampir pasti layak dalam acara keirin serta pecut individu.

Kedua-dua pelumba tersebut juga berada dalam program Road to Gold (RTG) dan Mohd Azizulhasni disasarkan untuk membawa pulang pingat emas pertama Malaysia.

Azizulhasni yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ melakar sejarah apabila menang pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan meneruskan kecemerlangannya dengan membawa pulang kilauan perak di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Artikel Berkaitan:

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan pihaknya sudah pun memiliki beberapa calon pelumba wanita untuk dihantar ke Sukan Olimpik di Paris namun perlu berbincang lebih lanjut dengan pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kita ada beberapa cadangan. Tapi biar kita bincang dahulu secara serius dengan MSN,” katanya.

Sebagai rekod, pelumba cilik Malaysia, Phi Kun Pan merangkul pingat emas acara lepas beramai-ramai Bawah 23 Tahun wanita di Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) sejauh 111 kilometer pada hujung Mei lalu.

Namun ada beberapa nama pelumba wanita lain yang dicadangkan antaranya Nur Aisyah Zubir – pemenang dua pingat gangsa di Sukan SEA 2021 di Siam Reap, Kemboja Ogos tahun lalu.

Malaysia pernah layak secara merit menerusi acara lebuhraya Sukan Olimpik 2012 dan ketika itu, PKBM memutuskan untuk menghantar dua nama besar iaitu Mohd Adiq Hussaine Othman dan Amir Mustafa Rusli.