'Sejak dua tahun lepas bersengkang mata tadah air'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GUA MUSANG - Sejak dua tahun lepas, penduduk di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini bersengkang mata menunggu bekalan air pulih.

Pencuci kawasan ladang Wan Azahar Wan Abdullah, 33, berkata, penduduk terpaksa berjaga pada tengah malam semata-mata untuk mendapatkan air bersih kerana hanya pada waktu itu sehingga subuh tekanan air di kediaman mereka mulai kuat dan pulih daripada gangguan bekalan.

"Masalah ini sudah berlarutan hampir dua tahun dan sehingga kini tiada jalan penyelesaian diambil pihak berkuasa walaupun kita sudah banyak kali membuat aduan.

"Kami pernah terputus bekalan air pada waktu pagi sehingga malam dan jika ada pun tekanan air sangat rendah sehinggakan untuk menadah air di dalam baldi mengambil masa yang sangat lama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Suri rumah, Siti Norzalila Shari, 37, berkata, selain komited membayar bil air secara bulanan, dia juga perlu menanggung kos menyediakan satu tangki khas di luar rumah berserta baldi dan besen pelbagai saiz untuk tadahan dan penyimpanan air bersih.

"Di sini terdapat lebih 500 rumah dan bergantung kepada satu tangki air sahaja.

"Jadi, sebab itu saya terpaksa menambah satu lagi tangki yang diletakkan di luar rumah berdekatan dengan paip.

"Berkemungkinan air di sini dicatu tetapi kami tidak tahu kenapa ia dicatu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim berkata beliau mengambil maklum mengenai aduan penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

"Saya akan mengusulkan masalah gangguan bekalan air ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu hadapan bersama masalah bekalan air di Taman Tropika Gua Musang.

"Saya berharap agar pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil perhatian sebab sepatutnya isu bekalan air di Gua Musang tidak perlu disamakan dengan daerah hilir,” katanya. - Bernama