Bola sepak AUG 2024: Malaysia belum kibar bendera putih

Pekan bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal ketika meraikan atlet-atlet cemerlang pada Universiade Chengdu 2023 di Putrajaya. Foto: Sukan IPT
Pekan bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal ketika meraikan atlet-atlet cemerlang pada Universiade Chengdu 2023 di Putrajaya. Foto: Sukan IPT
A
A
A

MALAYSIA masih belum mengibarkan bendera putih dalam mengharapkan Indonesia, tuan rumah Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 menganjurkan acara bola sepak pada temasya yang dijadualkan berlangsung di Surabaya dan Malang dari 25 Jun sehingga 6 Julai tahun depan.

Malah menurut Timbalan Setiausaha Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli, beberapa negara lain juga senada mengharapkan penganjur edisi ke-21 supaya mempertimbangkan menyenaraikan semula acara paling popular di temasya sukan itu.

"Ya, Malaysia masih mengharapkan tuan rumah Indonesia berubah fikiran dan bersedia menjadikan bola sepak antara acara yang dipertandingkan pada temasya AUG 2024.

"Dan difahamkan juga banyak negara yang terbabit pun mengharapkan perkara sama, kita pun faham mengenai kebimbangan tuan rumah berkenaan insiden di Stadium Kanjuruhan yang berlaku sebelum ini.

"Namun mungkin terdapat pendekatan lain yang boleh diambil tuan rumah, sebagai contoh mengadakannya secara tertutup tanpa kehadiran penonton," katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Pelancaran Road To Surabaya 2024 di Putrajaya.

Sebagai rekod, pasukan bola sepak negara meraih pingat perak pada AUG Ubon Ratchathani tahun lalu selepas tewas tipis 1-2 kepada Thailand dalam perlawanan akhir.

Pada masa sama Pekan percaya tuan rumah mungkin boleh mengambil elemen positif daripada penganjuran Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) yang sedang berlangsung sehingga 2 Disember di negara tersebut.

“Indonesia mungkin boleh mengambil perkara positif daripada penganjuran Piala Dunia bawah 17 tahun yang ketika ini berlangsung di negara itu sehingga 2 Disember ini.

Artikel Berkaitan:

“Salah satu gelanggang penganjuran Piala Dunia Bawah 17 tahun yang sedang berlangsung adalah di Surabaya.

"Jadi kita juga amat mengharapkan supaya perkara positif daripada penganjuran temasya itu membolehkan tuan rumah memikirkan kembali menganjurkan acara bola sepak di AUG tahun depan,” kata Pekan.

Kontinjen negara sebelum ini muncul naib juara AUG Ubon Ratchathani 2022 dengan membawa pulang 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa