RUU Anti Lompat Parti ikut keperluan negara ketika ini - Wan Junaidi

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti 2022 yang diluluskan adalah paling sesuai mengikut keperluan negara pada ketika ini setelah melalui proses intensif menerusi kajian dan libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata, sebarang cadangan pindaan hanya akan dilaksanakan sekiranya RUU itu jelas terdapat kelompangan kerana ia memakan masa yang lama dan perlu mendapatkan kelulusan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun menurutnya, saranan untuk meminda RUU tersebut boleh dibuat di peringkat parti politik itu sendiri dengan mengadakan senarai kesalahan yang boleh menyebabkan keahlian tergugur secara automatik atas sebab pelanggaran syarat tertentu.

“Kajian menggubal RUU ini saya mulakan sejak berkhidmat sebagai Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Ogos 2021 kerana pada pemikiran saya, ia sangat perlu dan kritikal untuk kestabilan politik negara.

“Ingin saya tekankan bahawa proses kajian ini termasuklah meneliti praktis negara lain seperti India, United Kingdom (UK), Singapura dan New Zealand dalam menangani isu ahli parti yang menukar keahlian politik di negara mereka.

“Contoh kelemahan praktis undang-undang di India, Speaker Dewan tidak diberi had masa untuk menjawab surat pertukaran sokongan parti yang beliau terima dan hal ini ditambah baik dalam RUU Anti Lompat Parti 2022, Speaker perlu buat keputusan surat notis pertukaran keahlian parti selepas 21 hari ia diterima,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Junaidi berkata demikian mengulas tindakan empat ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Madani.

Beliau melihat perkara itu sebagai satu versi baharu ‘lompat parti’, malah sudah meramalkan trend tersebut akan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, kajian awal telah berlangsung pada permulaan September 2021 hingga Mac 2022 dan panduan diberikan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggubal draf pertama undang-undang.

Tambah Wan Junaidi, pihaknya turut meminta AGC memasukkan langkah penting bagi menangani ahli yang bertukar parti, ingkar pendirian atau arahan Whip Parti masing-masing semasa di dalam Parlimen.

“Draf pertama dibuat selepas melalui beberapa proses perbincangan dan libat urus bersama pemimpin parti, ahli Parlimen di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, golongan akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai kesatuan masyarakat.

“Penjelasan diberikan sebanyak empat kali kepada Jemaah Menteri sepanjang tempoh tersebut, namun ia masih tidak mendapat persetujuan sebulat suara daripada mereka, akhirnya draf pertama ditolak pada April 2022,” ujar Wan Junaidi.

Menurutnya lagi, dalam mesyuarat sama, Jemaah Menteri membuat keputusan mengarahkan AGC untuk membuat draf meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan menggubal Akta Parlimen berkenaan kesalahan lompat parti.

Jelas beliau, pada 10 April 2022, dua sesi taklimat telah dibuat berasingan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk memberi penerangan mengenai draf RUU meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun mendapat tentangan kerana ia disifatkan terlalu luas, generik serta boleh disalahgunakan oleh kerajaan.

“Oleh kerana draf kedua juga mendapat tentangan, keesokannya, Perdana Menteri yang ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah berbincang dengan pemimpin PH dan BN memutuskan agar perkara ini diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dipengursikan saya sendiri.

“Semasa pembentangan di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022, bekas ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad turut menyarankan agar klausa yang telah dibuang daripada draf pertama dimasukkan ke dalam perlembagaan parti sendiri,” katanya lagi.