Dah tua baru nak pergi kursus haji

Bagi yang mendapat tawaran haji, memang penting hadir kursus kerana banyak perkara perlu diketahui.
Bagi yang mendapat tawaran haji, memang penting hadir kursus kerana banyak perkara perlu diketahui.
A
A
A

DAH tua baru nak pergi kursus haji, tetapi Merak Jalanan bukan nak cakap fasal orang lain, tetapi diri sendiri.

Umur sudah masuk setengah abad, inilah pertama kali Merak Jalanan mengikuti kursus haji. Ingatkan kursus ini hanya untuk yang sudah mendapat tawaran menunaikan haji saja.

Rupanya, sesiapa sahaja yang mahu belajar tentang ibadah haji boleh datang. Percuma pula tu, khususnya kursus yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji.

Ramai hadir sehingga masjid dipenuhi bakal jemaah haji. Ada yang sudah berusia, ada yang dipertengahan umur dan tidak kurang juga golongan muda. Rezeki masing-masing yang mendapat jemputan menjadi tetamu ALLAH.

Bagi yang mendapat tawaran haji, memang penting hadir kursus kerana banyak perkara perlu diketahui. Daripada rukun dan wajib haji, persediaan yang perlu dibuat hinggalah larangan sepanjang berada di Tanah Suci.

Paling menarik perhatian, ada ibu bapa membawa anak kecil. Walaupun belum tentu faham apa yang berlaku kerana sibuk melukis atau melihat telefon bimbit, namun pendedahan ini sangat baik.

Sepanjang kursus, Merak Jalanan sedar banyak perkara yang selama ini tidak diketahui atau sudah terlupa.

Mereka yang pernah mengerjakan umrah juga jangan terlalu yakin sudah memahami ibadah haji. Haji bukan sekadar umrah yang ditambah beberapa hari. Ada rukun, wajib dan tatacara khusus yang perlu dipelajari.

Jadi, kalau hujung minggu ada masa terluang, apa kata singgah ke masjid yang mengadakan kursus haji terbuka. Bak kata ustaz, berada dalam majlis ilmu itu pun ada pahalanya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun Merak Jalanan baru hendak belajar tetapi bab menuntut ilmu ini memang tiada istilah terlambat.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!