Sampah jadi 'kambing hitam' setiap kali banjir kilat

SETIAP kali hujan lebat, ada penduduk Shah Alam yang mula tidak senang duduk.
Bukan takut basah tapi bimbang jalan yang biasa dilalui tiba-tiba bertukar menjadi sungai. Kenderaan pula terkandas, manakala pemilik premis hanya mampu berharap air tidak memasuki kedai.
Begitulah senario banjir kilat yang seolah-olah menjadi acara berulang di beberapa kawasan di Shah Alam.
Hujan belum pun reda, masing-masing sudah mula mencari laluan alternatif, memeriksa kumpulan WhatsApp kejiranan atau bertanya kawasan mana yang dinaiki air.
Merak Jalanan tertanya-tanya, sampai bila masalah sama mahu berulang?
Memang benar, hujan lebat tidak boleh dihalang. Namun, sistem perparitan yang tidak diselenggara, longkang tersumbat dan pembangunan pesat tanpa mengambil kira keupayaan saliran tidak boleh terus dipandang ringan.
Jangan pula setiap kali air naik, sampah menjadi 'kambing hitam'. Masyarakat memang perlu menjaga kebersihan, tetapi pihak berkuasa juga perlu memastikan sistem saliran berfungsi, longkang diselenggara dan kawasan berisiko diberi perhatian.
Lebih penting, kerja membaiki dan menaik taraf saliran jangan hanya rancak selepas banjir berlaku.
Penduduk tidak mahu sekadar melihat jentera dan petugas turun padang ketika air sudah naik. Mereka mahu penyelesaian yang mampu mengelakkan kejadian sama berulang.
Penduduk juga perlu berhenti membuang sampah merata-rata dan jangan terlalu berani meredah jalan yang ditenggelami air. Merak Jalanan bukan meminta Shah Alam bebas hujan, tetapi berharap penduduk tidak lagi perlu berdebar setiap kali langit mula gelap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
