Bandar menua 2040: KL perlu bina rumah khusus warga emas

PSKL2040 menjangkakan jumlah penduduk warga emas adalah lebih tinggi iaitu 17.3 peratus pada 2040 berbanding 9.2 peratus pada 2025.
PSKL2040 menjangkakan jumlah penduduk warga emas adalah lebih tinggi iaitu 17.3 peratus pada 2040 berbanding 9.2 peratus pada 2025.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perumahan khusus bagi warga emas perlu dibangunkan di Kuala Lumpur memandangkan bandar raya ini dijangka menjadi bandar menua menjelang 2040, demikian menurut Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

PSKL2040 menjangkakan jumlah penduduk warga emas adalah lebih tinggi iaitu 17.3 peratus pada 2040 berbanding 9.2 peratus pada 2025.

Menurut PSKL2040, pembinaan rumah khusus bagi warga emas yang digalakkan termasuk rumah persaraan bagi kehidupan berdikari, rumah persaraan lengkap dengan bantuan perubatan serta rumah penjagaan warga emas.

"Ini membolehkan warga emas hidup berdikari dengan penyediaan kemudahan khusus untuk membantu mereka hidup sendiri. Bagaimanapun, kesesuaian rumah persaraan dengan bantuan perubatan di kawasan kediaman perlu dikaji dengan terperinci,” menurut dokumen itu.

Pembangunan rumah khusus bagi warga emas digalakkan untuk dijual, dipajak atau disewa kepada golongan ini dan pembangunannya boleh sama ada di dalam zon kediaman atau perdagangan dengan mengambil kira kesesuaian semasa.

Kawasan perumahan yang mempunyai komuniti persaraan yang ramai juga digalakkan untuk menyediakan ruang sosial dan kemudahan awam yang bersesuaian.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, rumah persaraan perlu dilengkapi dengan kemudahan yang mengambil kira prinsip asas reka bentuk sejagat seperti kelengkapan mesra warga emas termasuk alat amaran kecemasan dan keselamatan bagi membolehkan warga emas hidup dengan selesa berdasarkan kemampuan fizikal tanpa bantuan.

Bagi rumah penjagaan warga emas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menyediakan garis panduan terperinci bagi perancangan dan reka bentuknya dan ia perlu selari dengan garis panduan daripada agensi berkaitan bagi memartabatkan kesejahteraan warga emas.

"Kerjasama daripada institusi pengajian tinggi, badan profesional dan organisasi bukan kerajaan turut digalakkan membantu membangunkan keperluan ini,” menurut dokumen itu.

PSKL2040 turut memaklumkan Kuala Lumpur dijangka mengalami perubahan profil penduduk pada masa hadapan dengan bandar raya akan mempunyai saiz isi rumah yang kecil daripada 3.2 pada 2025 kepada 3.0 pada 2040.

Sehubungan itu, perancangan dan pengurusan penyediaan perumahan pada masa akan datang perlu mengambil kira perubahan profil penduduk dan isi rumah yang dijangka berlaku di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, PSKL2040 memaklumkan penyediaan perumahan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sangat penting dan usaha kerjasama daripada pelbagai agensi perlu diberi perhatian bagi memastikan golongan ini tidak diabaikan.

"Bilangan kumulatif OKU yang berdaftar di Kuala Lumpur pada 2020 meningkat sebanyak 12.2 peratus iaitu 38,590 orang daripada 34,299 orang pada 2019.

Menurut PSKL2040, di bawah Dasar Sosial Negara (DSN), kerajaan juga memastikan keperluan individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi. Ini termasuk menyediakan perumahan yang khusus bagi golongan OKU.

Antara inisiatif yang perlu dilakukan ialah menyediakan kemudahan kepada golongan OKU bagi menyewa rumah kos rendah atau rumah pangsa DBKL serta kemudahan yang sesuai dan mudah diakses seperti ramp dan tempat letak kenderaan.

Inisiatif lain antaranya termasuklah memperuntukkan dua peratus kuota bagi golongan OKU di setiap kawasan kediaman yang bersesuaian selain reka bentuk ruang rumah yang memenuhi piawaian, peraturan dan garis panduan untuk reka bentuk bebas halangan dan reka bentuk sejagat.

Diwartakan pada 19 Okt 2023, PSKL2040 kini menggantikan PSKL2020 sebagai dokumen perancangan masa hadapan Kuala Lumpur dalam memacu pembangunan strategik ibu negara Malaysia secara indikatif hingga 2040. - Bernama.