Tubuh pasukan khas laksana standard ISO kediaman warga emas

Kuala Lumpur dijangka menjadi bandar menua menjelang tahun 2040. Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) menjangkakan jumlah penduduk warga emas adalah lebih tinggi iaitu 17.3 peratus pada tahun tersebut. Gambar kecil: Saral James.
Kuala Lumpur dijangka menjadi bandar menua menjelang tahun 2040. Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) menjangkakan jumlah penduduk warga emas adalah lebih tinggi iaitu 17.3 peratus pada tahun tersebut. Gambar kecil: Saral James.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu pasukan khas perlu ditubuhkan untuk melaksanakan standard Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) reka bentuk dan pembinaan kediaman warga emas bagi memastikan rumah persaraan menjadi tempat perlindungan yang selamat buat golongan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-pengguna Standards Malaysia, Saral James Maniam berkata, ia selari dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (KLSP2040) yang menekankan keperluan penyesuaian gaya hidup disebabkan jumlah penduduk warga emas bakal meningkat hampir dua kali ganda daripada 9.2 peratus pada 2025 kepada 17.3 peratus pada 2040.

Menurutnya, ISO yang bakal dilaksanakan nanti perlu menekankan ciri-ciri kediaman yang mempunyai palang pegangan mudah digunakan, lantai tidak licin dan mengubah ruang untuk meningkatkan kebolehan bergerak serta keselamatan.

"Standard MS/ISO merupakan panduan untuk membangunkan tempat tinggal berkualiti tinggi, selamat dan mudah diakses untuk golongan warga emas.

"Satu pasukan yang menyatukan universiti, profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh membentuk kerjasama besar yang merangsang inovasi dan mengintegrasikan kepakaran untuk membentuk masa depan tempat tinggal warga emas.

“Pasukan khas itu boleh menjalankan kajian menyeluruh untuk menilai kebolehdayaan rumah persaraan dengan bantuan perubatan, memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan dan penjagaan yang tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Saral James, kempen kesedaran awam boleh dimulakan untuk memaklumkan kepada pembangun, arkitek dan pembuat dasar tentang kepentingan mematuhi standard MS/ISO.

Jelasnya, pendekatan proaktif tersebut penting untuk membentuk persekitaran kehidupan mampan dan inklusif bagi warga emas di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

“Ibu negara ini bersedia untuk menjadi bandar yang menua, jadi pelaksanaan standard ISO diperlukan bagi membangunkan rumah mesra warga tua.

“Dengan mempertimbangkan prinsip reka bentuk serba boleh, menguatkuasakan garis panduan komprehensif dan memupuk kerjasama, Malaysia boleh membuka jalan untuk masa depan mereka dalam ruang hidup yang lebih selamat, mudah diakses serta berkualiti tinggi,” ujarnya.