PSKL2040 ambil kira perubahan tangani fenomena banjir kilat

Ramkarpal Singh - Foto Bernama
Ramkarpal Singh - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangunan menerusi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) mengambil kira perubahan semasa dan masa hadapan termasuk menangani fenomena banjir kilat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata, PSKL2040 merupakan rangka tindakan komprehensif yang turut mengambil kira aspek perubahan iklim, ekonomi, demografi, gaya hidup dan infrastruktur Kuala Lumpur mendepani persaingan antarabangsa pada abad ke-21.

“Isu banjir kilat yang tergolong dibawah perubahan iklim juga telah pun diambil kira secara komprehensif dalam PSKL2040.

“Dalam masa terdekat, inisiatif-inisiatif yang lebih teliti juga akan diumumkan dari segi itu,” katanya dalam Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Zakri Hassan (PN-Kangar) berhubung usaha-usaha bagi mengatasi masalah banjir kilat di sekitar bandar Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, ujar Ramkarpal, Perdana Menteri telah meluncurkan PSKL2040 bagi menggantikan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

Menurut beliau, dari segi peningkatan trafik akibat pertumbuhan penduduk, pembangunan-pembangunan baru yang dicadangkan adalah tertakluk kepada hasil kajian impak trafik (Traffic Impact Assessment – TIA).

“Kajian tersebut merangkumi antara lain, dapatan tahap perkhidmatan jalan (Level of Service – LOS) masa kini dan unjuran trafik masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Hasil daripada unjuran trafik masa hadapan, penambahbaikkan infrastruktur akan disyorkan,” ujarnya.

Selain itu, ulasnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan perancangan lalulintas yang lebih menyeluruh dan bersepadu sebagai inisiatif penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah kesesakan.

“DBKL juga memberi tumpuan kepada pembangunan pengangkutan awam yang mesra pengguna, efisyen dan mudah akses bagi mencapai sasaran 70 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2040.

“Di antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan adalah seperti perkhidmatan bas GOKL, laluan khas bas, laluan basikal, laluan pejalan kaki dan akses maklumat laluan/perkhidmatan bas semasa melalui aplikasi digital,” ulasnya.

Tambahnya, bagi menangani isu-isu berkaitan alam sekitar, tindakan menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Neutral Karbon menjelang 2050 telah pun diterjemah melalui Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon 2030 serta komitmen terhadap perubahan iklim melalui Pelan Tindakan Iklim 2050.

“Ini merangkumi inisiatif-inisiatif seperti penanaman pokok sebanyak jumlah satu juta pada atau sebelum tahun 2025, perkhidmatan Bas GOKL pada masa ini menggunakan bas-bas eletrik, dan juga menyediakan lebih laluan basikal,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!