Bekas pelatih sokong kerajaan wujudkan semula PLKN

A
A
A

PLKN yang diperkenalkan pada tahun 2022 berjaya menjadi platform melahirkan generasi muda berketrampilan, berani serta mempunyai semangat cintakan negara yang kuat. - FOTO BERNAMA
PLKN yang diperkenalkan pada tahun 2022 berjaya menjadi platform melahirkan generasi muda berketrampilan, berani serta mempunyai semangat cintakan negara yang kuat. - FOTO BERNAMA

SHAH ALAM - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diperkenalkan kerajaan pada tahun 2002 diakui telah berjaya menjadi platform melahirkan generasi muda berketrampilan, berani serta mempunyai semangat cintakan negara yang kuat.

Selari dengan kejayaan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan untuk mengaktifkan semula program berkenaan yang dihentikan pada tahun 2018 bagi membentuk jati diri dalam kalangan belia di bawah seliaan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Berdasarkan tinjauan orang ramai khususnya bekas pelatih PLKN, rata-rata mereka menyambut baik pengumuman kerajaan berkenaan.

CHE KU MUHAMMAD RIZZUWAN
CHE KU MUHAMMAD RIZZUWAN

Seorang bekas pelatih PLKN, Che Ku Muhammad Rizzuwan Che Ku Mohsin, 28, berkata, PLKN banyak membantunya menjadi seorang insan yang berani meskipun sebelum ini takut dengan ketinggian.

Artikel Berkaitan:

Dia yang ketika itu berusia 18 tahun menjalani program berkenaan di Pagoh, Johor pada tahun 2013 dan kini bertugas sebagai pegawai di Unit Khas, Jabatan Bomba dan Penyelamat di Melaka Tengah.

“PLKN ini memang benar-benar mengubah 360 darjah diri saya daripada langsung kurang keberanian sehinggalah mampu menjadi pegawai bomba.

“Saya mampu menjalani pelbagai ujian lasak bagi memastikan fizikal dan mental. Saya bersedia menghadapi apa jua situasi menyelamatkan nyawa, menangani kebakaran, bencana dan sebagainya, “ katanya.

Semangat persaudaraan

Sementara itu, PLKN turut memberi peluang mengenali budaya dan agama kaum lain buat Azim Che Azis, 32, dari Bachok, Kelantan.

AZIM
AZIM

Menurutnya, latihan yang dijalaninya selama tiga bulan merupakan pengalaman yang amat bermakna dalam hidupnya.

“Kami bekerja dalam satu kumpulan berbeza bangsa, agama. Ianya bukan penghalang untuk menyelesaikan setiap tugasan yang penting hasil kerjasama serta perpaduan di antara kami,” ujar anak bongsu dari lima beradik itu.

Azim yang kini mempunyai syarikat menjual penghawa dingin berkata, setiap pelatih menganggap rakan mereka sebagai keluarga.

“Setiap masalah akan diselesaikan secara bersama. Jika salah seorang ahli kumpulan melakukan kesalahan, semuanya akan turut didenda. Inilah saya anggap ‘persaudaraan’ antara kami, saling menjagai antara satu sama lain,” ujarnya.

Bagi Mohammad Hazimiqbal Mohd Noor, 22, dari Tuaran, Sabah pula berharap jika diberi peluang, dia mahu kembali menyertai latihan PLKN.

“Saya adalah kumpulan terakhir PLKN pada tahun 2018 di Kem Di Bawah Bayu, Tuaran.

“Bila dengar PLKN hendak diadakan semula, saya gembira kerana ia program yang amat bagus kerana banyak memberi kesedaran agar kita mempunyai hala tuju dan cita-cita dalam hidup,” katanya.

MOHAMMAD HAZIMIQBAL
MOHAMMAD HAZIMIQBAL

Hazimi berkata, dia kini sedang mempersiapkan diri untuk menyertai tentera meskipun pernah gagal melepasi kelayakan fizikal bagi membolehkannya diserap ke dalam pasukan keselamatan itu.

Dalam pada itu, Fierdiana Abdul Rahman, 32, mengakui pada mulanya dia kurang seronok menyertai PLKN kerana merasa berjauhan dengan keluarga.

FIERDIANA
FIERDIANA

Bagaimanapun, setelah menjalani latihan di Kem Hijau, Kluang, Johor pada tahun 2009, dia merasa amat berat dan sedih untuk meninggalkan program itu dan rakan-rakan yang lain.

“Pengalaman bangun seawal jam 5 pagi untuk bersembahyang subuh, mendengar kuliah dan terus ke sesi latihan kawad pada waktu pagi memang cukup untuk menjadikan kita manusia berdisiplin.

“Sudah senang kita semasa latihan, kita sentiasa rakan-rakan untuk membantu. Inilah pengalaman yang saya fikir semua pelatih PLKN merasai dan melaluinya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jika tidak kerana PLKN, keberanian seseorang tidak akan teruji terutama ketika menyertai aktiviti kemandirian di dalam hutan yang cukup mencabar.

“Setiap pasukan perlu tahan dengan cabaran mental dan fizikal untuk mencapai matlamat yang ditetapkan,” jelasnya.