'Luluskan dulu peruntukan RM30 juta, baru saya sokong kerajaan' - MP Bukit Gantang

Syed Abu Hussin Hafiz
Syed Abu Hussin Hafiz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) akan memberi sokongan kepada kerajaan hanya selepas permohonan peruntukan RM30 juta bawah Belanjawan 2024 kepada kawasan Parlimennya diluluskan.

Tindakan itu dilihat berlainan dengan situasi Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini yang mengumumkan sokongan terlebih dahulu sebelum memperoleh peruntukan.

Syed Abu Hussin berkata, permohonan peruntukan itu, antaranya untuk kerja-kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

Menurutnya, selain itu sebanyak RM16 juta dana juga dimohon bagi pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim itu.

"Saya dengan ikhlas menyampaikan suara pengundi dan penduduk Bukit Gantang kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

"Dengan hati yang ikhlas, kalau lulus RM30 juta ini, saya juga nak melihat sejauh mana Kerajaan Madani ini adil dalam memberikan peruntukan.

"Dalam Dewan yang mulia ini, saya mohon jika saya mendapat peruntukan ini untuk dibangunkan kawasan saya, saya akan beri sokongan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri (Ahmad Zahid) dan Kerajaan Madani," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini terdapat empat ahli parlimen PN, yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan tindakan tersebut pada 12 Oktober lalu, disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dua minggu kemudian.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim Ahli dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik pula mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.