[VIDEO] Sungai tercemar jejas nelayan

A
A
A

PENCEMARAN Sungai Skudai semakin parah dengan keadaan sungai yang dipenuhi sampah sarap sehingga menjejaskan pendapatan nelayan sejak beberapa tahun lalu.

Sungai yang terletak di Johor Bahru itu merupakan satu daripada 14 sungai yang tercemar di negeri itu walaupun kerap dibersihkan.

Pengkalan Nelayan Taman Tampoi Utama di Sungai Skudai.
Pengkalan Nelayan Taman Tampoi Utama di Sungai Skudai.

Ikuti laporan wartawan, NOR AZURA MD AMIN yang meninjau permasalahan dan mendengar luahan hati nelayan terbabit.

Kira-kira 200 nelayan pantai antaranya di Bakar Batu, Batu 4, Telok Serdang, Melana 2, Skudai Kiri, Pengkalan Rinting, Kampung Sungai Perling dan Tampoi Utama bergantung dengan Sungai Skudai sebagai sumber rezeki.

Bagaimanapun, Rosli Esa, 53, berkata, pencemaran yang berlaku mengancam hidupan laut seperti ikan dan udang yang satu masa dahulu banyak terdapat di Sungai Skudai.

Nelayan itu berkata, enjin bot nelayan juga kerap mengalami kerosakan kerana sampah sering tersangkut ketika turun ke sungai.

Artikel Berkaitan:

Sampah sarap yang dibawa arus di Sungai Skudai.
Sampah sarap yang dibawa arus di Sungai Skudai.

“Sungai tercemar teruk sejak 10 tahun lalu selepas banyak kawasan perumahan dan industri yang dibangunkan. Sampah sarap yang dibuang di bawa arus ke laut menerusi Sungai Skudai.

“Bukan sahaja tangkapan berkurangan, tetapi nelayan terpaksa berdepan kerugian kerana enjin bot rosak selepas sampah seperti plastik tersangkut.

“Kos membaiki enjin bot dianggarkan antara RM300 hingga RM400. Dalam setahun, lima kali enjin bot rosak sebab tersangkut sampah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, keadaan sungai yang tercemar mengakibatkan nelayan di Pengkalan Taman Tampoi Utama terpaksa menjaring ikan di kawasan lain yang tidak tercemar untuk mencari rezeki.

“Nelayan tidak boleh lagi bergantung dengan Sungai Skudai, sebab hendak dapat ikan dan udang sangat susah. Banyak kali balik dengan tangan kosong.

“Mahu tidak mahu, kami terpaksa keluar sejauh tujuh kilometer (km) ke Puteri Harbour untuk tangkap ikan. Ada juga nelayan yang ke Pulau Kukup sejauh 40km,” katanya.

Zulfahmi Yusof, 28, pula berkata, bukan sahaja berisiko, malah memerlukan modal yang besar bagi membeli diesel untuk menangkap ikan di luar dari kawasan Sungai Skudai.

“Kos duit minyak bot untuk ke Puteri Harbour sekitar RM60 ringgit dan Pulau Kukup di Pontian pula hampir RM200.

“Kalau tak keluar dari Sungai Skudai memang tak dapat tangkap ikan. Kalau ada pun tangkapan di Sungai Skudai sangat sikit, dalam RM30 sehari. Itu pun tak menentu, ada kalanya pulang tangan kosong,” ujar lelaki itu.

Tambah Zulfahmi, masalah pencemaran yang berlaku menyebabkan pelbagai jenis ikan mati, selain air sungai menjadi keruh dan kadangkala berbau busuk.

Keadaan Sungai Skudai yang dicemari sampah sarap hingga menjejaskan pendapatan nelayan.
Keadaan Sungai Skudai yang dicemari sampah sarap hingga menjejaskan pendapatan nelayan.

Jelasnya, sampah sarap yang dibuang dibawa arus ke laut dan bilangannya semakin bertambah walaupun sudah dipasang perangkap sampah.

“Hampir setiap masa, kecuali air surut, sampah akan kelihatan hanyut di permukaan sungai. Sampah dari lembangan anak sungai akan mengalir ke sungai utama ketika air pasang besar.

“Orang ramai sering mengadu apabila melihat sampah penuh dalam Sungai Skudai. Ia sebenarnya memberi imej negatif kepada nelayan di Sungai Skudai kerana bukan kami yang buang sampah-sampah ini,” katanya.

Cadang nelayan diupah kutip sampah secara pukal

Sementara itu, Ketua Pengkalan Nelayan Taman Tampoi Utama, Yusoff Setam mencadangkan agar nelayan diupah untuk mengutip sampah secara pukal sekali gus dapat menambahkan pendapatan golongan itu.

Katanya, cadangan itu juga mampu membantu memulihkan keadaan Sungai Skudai kerana sampah sarap di atas permukaan sungai akan dikutip nelayan yang mahir dengan selok-belok keadaan sungai.

Yusoff menunjukkan jaring yang rosak kerana sampah kerap tersangkut.
Yusoff menunjukkan jaring yang rosak kerana sampah kerap tersangkut.

“Ini bukan cadangan baharu, tetapi ia pernah dilaksanakan sebelum penularan Covid-19. Ketika itu, gotong- royong bersihkan Sungai Skudai dilakukan.

“Sampah yang dikutip dari sungai ditimbang secara pukal sebelum dijual dengan harga 10 sen hingga 30 sen sekilogram. Selepas itu, jualan sampah pukal tidak lagi dilakukan.

“Saya berpandangan jualan sampah pukal wajar diwujudkan semula kerana ia serampang dua mata. Selain dapat membersihkan sungai ia juga dapat tambah pendapatan nelayan,” ujar beliau.

Selain itu jelasnya, kebanyakan nelayan di pantai merupakan golongan berusia 40 hingga 60 tahun dan sukar mencari pekerjaan lain.

“Jika ada pun, kerja-kerja sambilan membantu kontraktor membina atau membaik pulih rumah dengan kadar gaji harian. Tetapi itu pun, bukan selalu ada.

“Kami masih menjadi nelayan walaupun Sungai Skudai tercemar dengan teruk,” katanya.