Nasib berbeza dua beregu, Jun Hao di Jepun

Pearly (kanan) dan Thinaah bermula dengan langkah kanan dalam saingan Master Jepun di Kumamoto pada Selasa. - Foto Agensi
Pearly (kanan) dan Thinaah bermula dengan langkah kanan dalam saingan Master Jepun di Kumamoto pada Selasa. - Foto Agensi
A
A
A

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah bermula dengan langkah kanan di Kumamoto apabila melepasi ujian pertama Masters Jepun 2023 pada Selasa.

Kemenangan itu bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila pasangan negara diheret oleh Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan sehingga ke set penentuan sebelum menoktahkan kemenangan.

Pearly-Thinaah mudah mengatasi lawan 21-14 pada set pertama, sebelum Yu Lim-Seung Chan bangkit pada set kedua 22-20 untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Bagaimanapun pengalaman memisahkan mereka, apabila gandingan negara yang menghuni ranking kesembilan dunia menamatkan kemenangan 21-18 dalam tempoh sejam permainan.

Pada pusingan seterusnya, Pearly-Thinaah bakal berdepan sama ada pasangan Jepun, Rui Hirokami-Yuna Kato atau Francesca Corbett-Allison Lee dari Amerika Syarikat

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut melakar keputusan positif selepas mengatasi cabaran rakan senegara, Man Wei Chung-Tee Kai Wun secara straight set.

Dalam saingan set pertama menyaksikan Wei Chung-Kai Wun memberi tentangan sengit, namun terpaksa akur tewas 21-16, sebelum Yew Sin-Ee Yi menang mudah pada set kedua 21-7.

Sebagai rekod, pertemuan kedua-dua beregu dianggap seimbang kerana menang sekali daripada dua pertemuan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Menanti mereka pada pusingan kedua ialah antara pasangan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga atau Chen Bo Yang-Liu Yi dari China.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi perseorangan lelaki nombor tiga negara, Leong Jun Hao yang terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi lebih jauh dalam kejohanan tersebut.

Pemain berusia 24 tahun itu tewas kepada pemain Jepun, Takuma Obayashi dalam saingan pusingan kelayakan 23-21, 21-16 dalam tempoh hampir sejam permainan.

Kekalahan tersebut menyaksikan Jun Hao gagal mara ke undian utama bagi saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 itu.

Jun Hao selepas ini akan terbang ke India untuk menyertai kejohanan Jelajah Dunia BWF terakhir bagi tahun ini iaitu saingan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow bermula 20 November hingga 3 Disember.