'Ini bukan keputusan yang baik untuk kami' - Pan-gon

PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui keputusan seri 1-1 menentang Terengganu FC (TFC) bukanlah keputusan yang diharapkan, namun beliau tetap berbangga dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buahnya.
Menurut Pan-gon, pasukannya bergelut pada separuh masa pertama apabila tuan rumah mempamerkan aksi lebih agresif menyebabkan Selangor dihukum dengan gol pembukaan TFC.
Bagaimanapun, pengendali dari Korea Selatan itu memuji respons pasukannya pada babak kedua yang tampil dengan rentak lebih kemas walaupun diuji dengan layangan kad merah yang menyukarkan keadaan.
"Ya, perlawanan yang sangat sukar. Separuh masa pertama TFC bermula lebih baik, pemain mereka sangat agresif. Kami pula agak bergelut dan tidak berada dalam prestasi terbaik, jadi kami layak dibolosi gol pertama itu.
"Namun pada separuh masa kedua, permainan kami lebih baik. Walaupun kad merah itu sukar untuk diterima, tetapi dengan 10 pemain kami masih mampu mencipta peluang.
"Saya sangat bangga dengan pemain Selangor. Dalam situasi dan keadaan yang sangat sukar, mereka tetap melawan, malah kita mungkin boleh memenangi perlawanan ini," katanya.
Pan-gon bagaimanapun tidak menafikan keputusan seri itu sedikit merencatkan usaha Selangor dalam memburu kedudukan kedua Liga Super, namun percaya peluang masih terbuka luas.
"Akhirnya, ini bukan keputusan yang baik untuk kami memandangkan kami sedang mencabar kedudukan kedua liga.
"Namun, saya percaya kita masih ada banyak peluang dan kami akan terus berjuang. Walaupun sedih, saya perlu terima keputusan ini tetapi saya tetap bangga dengan semua pemain," ujarnya.
Dalam perlawanan tersebut, TFC terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Careca sebelum Faisal Halim muncul penyelamat Selangor apabila meledak gol penyamaan, sekali gus mengelak pasukannya pulang dengan tangan kosong.
Ringkasan AI
- Kim Pan-gon akui keputusan seri 1-1 menentang Terengganu FC bukan yang diharapkan tetapi berbangga dengan semangat juang anak buahnya
- Selangor dihukum gol pada separuh masa pertama kerana Terengganu lebih agresif
- Pan-gon memuji respons pasukannya pada babak kedua walaupun diuji dengan kad merah
- Keputusan seri merencatkan usaha Selangor dalam memburu kedudukan kedua Liga Super namun peluang masih terbuka
- TFC memimpin menerusi gol Careca sebelum Faisal Halim menyamakan kedudukan bagi Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
