Mudah buat Pearly-Thinaah di Jepun

Pearly (depan) dan Thinaah tewaskan pasangan tuan rumah dalam aksi pusingan kedua Masters Jepun di Kumamoto pada Khamis. - Foto Agensi
Pearly (depan) dan Thinaah tewaskan pasangan tuan rumah dalam aksi pusingan kedua Masters Jepun di Kumamoto pada Khamis. - Foto Agensi
A
A
A

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan apabila mudah melangkah ke peringkat suku akhir Masters Jepun di Kumamoto.

Kejayaan tersebut diraih setelah pasangan ke-13 dunia itu menyingkirkan gandingan tuan rumah, Rui Hirokami-Yano Kato dalam saingan pusingan 16 pada Khamis.

Pearly-Thinaah dilihat tidak berdepan halangan sukar ketika menentang gandingan yang menduduki ranking ke-28 dunia itu menerusi kemenangan 21-17, 21-16 dalam tempoh 41 minit permainan.

Kejayaan itu menjadikan Pearly-Thinaah mengulangi kemenangan yang mereka lakar ke atas lawan yang sama pada pertemuan sulung dalam kejohanan Terbuka Korea Julai lepas.

Menanti mereka dalam aksi suku akhir sama ada wakil tuan rumah, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto yang menghuni ranking ke-14 atau pasangan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui dari Taiwan yang berada di ranking ke-122 dalam misi merebut tiket ke separuh akhir.

Sebagai rekod, kemaraan ke peringkat suku akhir itu merupakan yang pertama buat Pearly-Thinaah selepas Sukan Asia Hangzhou bulan lalu.

Pasangan itu sebelum ini terpaksa melupakan aksi dalam tiga kejohanan di Eropah - Terbuka Artik, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis gara-gara kecederaan yang dialami oleh Pearly.

Artikel Berkaitan: