Jumlah mangsa banjir di Perak, Kedah meningkat

Penduduk D'Aman Meru Raya melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya. - Foto Bernama
Penduduk D'Aman Meru Raya melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Kedah mencatatkan sedikit peningkatan pagi ini manakala di Perlis pulih sepenuhnya.

Di PERAK, mangsa banjir di tiga daerah meningkat sedikit kepada 217 orang daripada 62 keluarga pagi ini berbanding 210 orang daripada 61 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan di Hilir Perak, dua PPS masih dibuka iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak yang menempatkan 109 orang daripada 32 keluarga manakala di PPS Dewan Serbaguna Chikus seramai 19 orang daripada lima keluarga.

"Di Kerian, 23 orang daripada empat keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala jumlah mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu juga kekal 57 orang daripada 19 keluarga," menurut kenyataan itu.

"Di Kinta pula, sembilan orang daripada dua keluarga dari Taman Meru 2C ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A manakala kesemua 19 mangsa daripada enam keluarga yang berlindung di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta telah pulang ke kediaman masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 107 mangsa pagi ini berbanding 31 mangsa malam tadi, selepas dua PPS dibuka di daerah Kota Setar.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata dua PPS itu adalah SK Titi Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah.

"Kedua-dua PPS ini masing-masing dibuka pada 5.30 petang dan 11 malam semalam bagi menempatkan seramai 76 mangsa daripada 27 keluarga di daerah Kota Setar yang terjejas banjir susulan hujan lebat pada sebelah petang.

Artikel Berkaitan:

"Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Seberang Chegar, Kampung Alor Gunung, Kampung Pulau Kerengga, Kampung Alor Senjaya, Kampung Alor Perang, Kampung Bohor dan Kampung Anak Bukit," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, satu lagi daerah yang terjejas banjir adalah Kubang Pasu, membabitkan jumlah mangsa yang pindah masih kekal 31 orang daripada tujuh keluarga seperti malam tadi, yang ditempatkan di SK Malau.

PPS itu dibuka pada Isnin lepas susulan hujan lebat selama tiga jam menyebabkan banjir di beberapa kawasan antaranya Kampung Paya Tok Keong, Kampung Paya Tok Teh dan Kampung Biak di daerah tersebut.

Sementara itu di PERLIS, keadaan banjir pulih sepenuhnya apabila PPS di Dewan Titi Tinggi Hilir di Padang Besar yang dibuka awal pagi semalam ditutup sepenuhnya pada 8 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mangsa banjir 41 orang daripada 12 keluarga yang masih berada di PPS itu malam tadi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini setelah air surut. - Bernama