Tiga individu mengaku tak bersalah kemukakan dokumen palsu

Salah seorang individu (dua dari depan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Selasa.
Salah seorang individu (dua dari depan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu melibatkan Borang Pengesahan Pekerja Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja kepada ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO).

S Poowesna, 35, A Mohana Sundharam, 34, dan S Ramamoorthy, 41, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Poowesna dan Mohana Sundharam dituduh mengemukakan empat dokumen palsu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, PERKESO Johor Bahru, pada 30 Mei 2021 lalu, sementara Ramamoorthy dituduh melakukan perbuatan sama dengan mengemukakan tiga dokumen palsu di lokasi sama pada 25 dan 26 Mei 2021.

Mereka didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama.

Atas kesalahan tersebut mereka berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu jika butir matan yang palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, kemudiannya mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 kepada Poowesna dan Mohana Sundharam dalam cagaran wang tunai, dengan seorang penjamin warga tempatan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru, sekali sebulan.

Peguam Poowesna, Mohd Salleh Tugimin memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi Poowesna dan Peguam Mohana Sundharam, Abd Rahim Ali, memohon wang jaminan dikurangkan sebanyak RM8,000 kerana jumlah RM40,000 didapati terlalu tinggi selain kedua-duanya menanggung perbelanjaan keluarga masing-masing.

Hakim kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada Poowesna dan RM8,000 kepada Mohana Sundharam dalam cagaran wang tunai dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru, sekali sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, turut mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 kepada Ramamoorthy dalam cagaran wang tunai, dengan seorang penjamin warga tempatan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru, sekali sebulan.

Peguam Ramamoorthy, Amarpreet Singh Rajwinder Singh kemudiannya memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM15,000 kerana jumlah RM40,000 didapati terlalu tinggi selain Ramamoorthy kini menanggung perbelanjaan keluarga.

Hakim kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada Ramamoorthy dalam cagaran wang tunai dengan seorang penjamin warga tempatan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru, sekali sebulan.

Hakim kemudiannya turut menetapkan tarikh 14 Disember sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.