Kerajaan Selangor berjaya tingkat semula 'star rating' Unisel

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor berjaya meningkatkan semula penilaian ‘star rating’ Universiti Selangor (Unisel) yang menurun ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada 2022 universiti berkenaan berjaya memperoleh semula 'star' yang setara sebagaimana telah diperoleh sebelum pandemik.

“Alhamdulillah, Unisel berjaya pulih kepada taraf sebelum pandemik berdasarkan laporan daripada Kementerian Pengajian Tinggi berdasarkan naik taraf dilakukan universiti serta perancangan kerajaan negeri.

“Sebagai contoh, kita telah meningkatkan kualiti jaringan keterhubungan internet ketika pandemik apabila dapat menguruskan pengajian atas talian tanpa ada gangguan.

“Ketika pandemik juga, kita mampu bertahan sehingga kita lihat trendnya universiti swasta pada ketika itu termasuk di beberapa negeri mengalami kekurangan pelajar yang serius namun kita mampu daftar hampir 600 dari kadar luar pandemik sekitar 1,000 hingga 1,500,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di Dewan Negeri Selangor di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok, Jefri Mejan (PN) berhubung menjadikan Unisel sebagai universiti awam dalam usaha Selangor menjadinl sebagai sebuah hab pendidikan tinggi yang berprestij di Malaysia.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan tumpuan dalam mengembangkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Beliau berkata, antara langkah dilakukan adalah mendekati dan mengasuh pelajar di peringkat sekolah menengah supaya mereka berminat dengan bidang itu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tidak dapat tangkap dan asuh daripada sekolah menengah, kita tidak akan dapat pelajar-pelajar yang berkualiti.

“Dalam penggal ini antara tawaran yang kita kemukakan ialah untuk masuk ke sekolah menengah dan asuh minat pelajar serta ibu bapa supaya menukar paradigma TVET bukan peluang kedua sebaliknya boleh dijadikan sebagai pilihan pertama yang janjikan peluang pekerjaan lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan berhubung pendekatan kerajaan negeri untuk menggalakkan lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia di negeri ini untuk memilih TVET sebagai laluan pendidikan tinggi mereka.