Banjir: JPS Perak kena mohon peruntukan tambahan bina ban

Saarani (tengah) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus, Teluk Intan pada Rabu.
Saarani (tengah) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus, Teluk Intan pada Rabu.
A
A
A

TELUK INTAN - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak diminta membuat permohonan tambahan bagi membina ban terputus yang menyebabkan berlakunya banjir termenung di Changkat Jong di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan pusat sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membina ban di kawasan Batu 9 dan Batu 10 berhampiran.

"Kita sedang membina ban tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan namun pada waktu sama ada lagi ban yang terputus menyebabkan air berterusan masuk (kawasan penduduk).

"Saya minta JPS melihat balik, mohon balik peruntukan kerana ia bukan sahaja dapat membina baharu tetapi dapat menyambung balik ban-ban terputus ini," katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Serba guna Chikus di sini pada Rabu.

Mengulas cadangan memindahkan mangsa banjir ke penempatan baharu, Saarani berkata, terdapat kekangan terutama kawasan bersesuaian dan kewangan.

"Masalah pertama adalah mencari tapak yang jauh dari sungai dan ruang untuk berlaku banjir dan kedua, mereka yang terlibat mempunyai wang untuk membina rumah. Itulah kekangan yang ada.

"Perkara ini selalu dibincangkan dan belum tercapai. Tanah barangkali kita boleh cari dan mereka perlu bayar premium tetapi kos bina rumah dan bina infrastruktur agak mahal kerana tanah ini jauh dari jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saarani (tengah) meninjau mangsa terjejas banjir di Chikus, Teluk Intan dan menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM300.
Saarani (tengah) meninjau mangsa terjejas banjir di Chikus, Teluk Intan dan menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM300.

Tambah beliau, kerajaan negeri sebelum ini ada memindahkan 15 keluarga terlibat ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana berhampiran.

Sebelum itu, Saarani meninjau dua PPS termasuk PPS Dewan Serba guna Padang Tembak yang menempatkan 37 keluarga yang terjejas banjir di daerah Hilir Perak dan menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM300.

Menurut beliau, senario banjir di daerah itu berbeza kerana mengambil masa lama untuk surut akibat air termenung.

"Jumlah mangsa yang dipindahkan juga sentiasa bertambah dan berkurang susulan fenomena banjir berulang sehinggalah musim Monsun Timur Laut (MTL) kembali reda.

"Kerja-kerja pembersihan rumah mangsa akan dilaksanakan oleh sukarelawan belia Hilir Perak dan diuruskan Jabatan Belia dan Sukan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hilir Perak pada penghujung musim MTL yang dijangka akhir Disember ini," katanya.

Saarani berkata, bantuan awal banjir sebanyak RM300 daripada kerajaan negeri sudah pun diagihkan.

"PDT Hilir Perak juga sedang menyelaraskan bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), pejabat Perdana Menteri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen yang dijangka selesai akhir Disember ini," katanya.