Bangunan resort runtuh di Pulau Perhentian tiada kebenaran merancang

Keadaan sebuah resort di Pulau Perhentian yang runtuh menyebabkan dua buruh binaan terkorban dalam kejadian pada Khamis lalu. Gambar kecil: Wan Sukairi
Keadaan sebuah resort di Pulau Perhentian yang runtuh menyebabkan dua buruh binaan terkorban dalam kejadian pada Khamis lalu. Gambar kecil: Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu melakukan pemantauan secara berkala terhadap sebarang bentuk binaan bangunan bagi memastikan ia mendapat kelulusan serta menepati piawaian ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha itu telah dilakukan sebelum ini termasuk melibatkan sebuah resort di Pulau Perhentian yang runtuh dalam kejadian pada Khamis lalu.

Menurutnya, resort berkenaan telah dibina secara haram pada 2020 ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pengusaha resort pernah membuat permohonan untuk mendapatkan kelulusan pelan bangunan dan kebenaran merancang pada Ogos 2021.

"Bagaimanapun pihak berkuasa tempatan (PBT) menolak permohonan itu selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) Majlis Daerah Besut (MDB) ke-14 pada 12 September tahun yang sama," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Wan Sukairi berkata, permohonan tersebut ditolak atas beberapa sebab antaranya gagal mengemukakan pelan secara kekal dan PBT telah mengambil tindakan susulan terhadap resort terbabit.

Keadaan sebuah bangunan tiga tingkat di sebuah resort yang sedang dalam pembinaan runtuh di Pulau Perhentian, Khamis lalu. - Foto Bernama
Keadaan sebuah bangunan tiga tingkat di sebuah resort yang sedang dalam pembinaan runtuh di Pulau Perhentian, Khamis lalu. - Foto Bernama

"Dalam kes resort tersebut, kita telah kenal pasti terdapat beberapa pelanggaran peraturan iaitu gagal mengemukakan dan mendapat kelulusan dasar daripada Unit Perancang Ekonomi (UPEN) serta gagal mengemukakan permohonan kebenaran merancang daripada Perancang Bandar Berdaftar.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) juga menolak permohonan perakuan pelan bangunan komersial yang telah dikemukakan pada tahun ini kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, MDB telah bermesyuarat dan mengadakan post mortem berkaitan insiden itu bagi membuat keputusan berhubung tindakan yang akan diambil.

Dalam pada itu, Wan Sukairi menyeru kepada semua pihak supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Kita mohon kepada semua pihak yang ingin melaksanakan sebarang bentuk pembangunan di Terengganu, perlu patuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membawa keluar mangsa yang terselamat selepas terperangkap dalam runtuhan bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan di Pulau Perhentian. - Foto Bernama
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membawa keluar mangsa yang terselamat selepas terperangkap dalam runtuhan bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan di Pulau Perhentian. - Foto Bernama

"Apabila buat permohonan, dari situ kita akan adakan pemantauan dengan baik. Segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan itu dilaksanakan bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku," ujarnya.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, sebuah resort sedang dalam pembinaan runtuh kira-kira jam 4.30 pagi menyebabkan tiga pekerja dikhuatiri tertimbus, manakala empat yang lain berjaya menyelamatkan diri.

Dua mangsa tertimbus dijumpai anggota penyelamat pada hari yang sama sementara seorang mangsa, Suparno, 40-an, ditemukan meninggal dunia d ibawah runtuhan itu pada Jumaat.

Seorang daripada mangsa yang terselamat iaitu warga Indonesia dikenali sebagai Bahul Jamil, 42, meninggal dunia pada Ahad ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.