'Ramai yang masih setia' - Bersatu Kelantan

Kamaruddin
Kamaruddin
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan tidak goyah berikutan dua ahlinya yang membuat keputusan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor bagaimanapun berkata, kedudukan terkini ramai yang setia berikrar untuk bersama sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, Bersatu Kelantan menyerahkan sebarang keputusan kepada Lembaga Disiplin Parti itu untuk tindakan terhadap dua ahlinya yang sudah membuat keputusan menyokong Anwar.

"Mereka sudah membuat keputusan tetapi kita serahkan kepada lembaga disiplin untuk tindakan lanjut. Keputusan mungkin mengambil masa kerana perlu melalui prosedur tertentu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri diikuti Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang mengambil tindakan sama.

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Bersatu dari Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dilaporkan menyatakan sokongan kepada Anwar diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Kamaruddin turut menafikan ramai ahlinya yang terlibat dalam kes pengubahan wang haram seperti dakwaan seorang individu yang dikenali sebagai pemimpin kanan parti.

Menurut beliau, ia merupakan tuduhan semata-mata kerana mahu melihat Bersatu menjadi lemah.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya dakwaan itu bukan daripada pemimpin Bersatu kerana mereka tidak pernah melemparkan tanggapan tersebut.

"Jika perkara itu berlaku, sudah pasti mereka ditahan dan pihak kerajaan tidak akan membiarkannya berlaku," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan seorang pemimpin kanan Bersatu mendakwa ramai dalam kalangan ahli Bersatu tidak yakin parti itu mampu bertahan sehingga PRU16.

Pemimpin itu memberitahu, situasi itu susulan siasatan dan pendakwaan terhadap beberapa pemimpin parti yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram (AMLA) Jana Wibawa.