'Ada pemimpin yang saya boleh sokong, jika dia pulihkan negara'

Dr Mahathir berkata, lazimnya beliau akan memberikan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk melihat apa yang boleh dilakukan oleh individu yang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri. - Foto/Facebook Keluar Sekejap
Dr Mahathir berkata, lazimnya beliau akan memberikan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk melihat apa yang boleh dilakukan oleh individu yang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri. - Foto/Facebook Keluar Sekejap
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bersedia untuk memberikan sokongan kepada mana-mana pemimpin yang boleh melakukan sesuatu yang betul untuk memulihkan Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, beliau juga berasa bertanggungjawab untuk bersuara jika berpandangan seseorang Perdana Menteri itu melakukan tindakan yang tidak baik untuk negara dan orang Melayu.

Dr Mahathir berkata, lazimnya beliau akan memberikan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk melihat apa yang boleh dilakukan oleh individu yang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Begitu pun, beliau tidak menamakan atau merujuk secara khusus kepada mana-mana Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri.

"Kalau saya berdiam diri, bermakna saya tidak bertanggungjawab. Perjuangan saya untuk nak tentukan bangsa saya berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain, itu perjuangan saya...

"Apabila saya lihat orang ini lebih utamakan duit, lebih utamakan jawatan... itu saya tak boleh sokong lah. Kalau nak pegang jawatan Perdana Menteri, mesti sumbang kepada kejayaan negara dan pemulihan kedudukan orang Melayu, itu perjuangan saya.

"Tetapi kalau orang buat benda yang merosakkan lagi, saya masih boleh bercakap, tak kan saya nak duduk diam. Okey lah, tak apa lah bukan masa saya dah, kalau saya boleh bercakap, saya bercakap lah. Kalau saya dah sakit, dah tidur, tak boleh nak ni (bercakap), saya tak bercakap lah," katanya pada Isnin.

Dr Mahathir berkata demikian dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan.

Artikel Berkaitan:

Menjawab lanjut soalan Shahril mengenai masa depan Malaysia, bekas Presiden UMNO itu berpandangan sekiranya keadaan sekarang berterusan, beliau menjangkakan dalam masa 10 tahun lagi orang Melayu akan dipinggirkan dan Malaysia bukan lagi menjadi tanah Melayu.

"Macam Singapura... macam Pulau Pinang, kita duduk di negara kita (tetapi) tak boleh masuk kawasan itu, kawasan ini kerana kita (Melayu) sudah jadi lemah dan kita berpecah.

"Tiap-tiap parti (jadi) kecil-kecil belaka. Orang lain bersatu (tetapi) kita berpecah dan masa depan Malaysia dalam 10 tahun, bukan lagi tanah Melayu," tambah Dr Mahathir.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu pada masa sama berkata, kadang-kala beliau berasa kecewa kerana setiap jangkaan yang dibuatnya seolah-olah menjadi realiti.

"Bila saya kata dalam masa 20 tahun UMNO akan rosak, dia berlaku. Dalam masa sekian, sekian, dia terjadi, ia terjadi.

"...dan sekarang ini saya nampak dalam 10 tahun, negara kita ini berubah dan bukan lagi Tanah Melayu," luah beliau. - Awani