'Pemimpin, akar umbi UMNO sokong PN? Kita tengok PRN nanti'

Zambry - Gambar fail Bernama
Zambry - Gambar fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Zambry Abd Kadir meminta semua pihak agar menunggu Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini susulan dakwaan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa ramai pemimpin dan ahli akar umbi UMNO akan memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, sebagai ahli politik, Pengerusi PN Negeri Sembilan itu mempunyai pandangan peribadi termasuk dakwaan bahawa sokongan akar umbi UMNO, akan beralih kepada pihak lawan.

"Jadi soal sokongan apa semua, kita tengok nanti dalam pilihan akan datang.

"Tentunya kami di peringkat kita (UMNO) mempunyai keyakinan tentang gerak kerja dan sumbangan yang kita berikan dalam usaha kekalkan momentum pertumbuhan dalam negara," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negara (CCFP) Bilangan 2, yang turut disertai pakar akademik dan wakil-wakil kedutaan Malaysia di seluruh dunia.

Hari ini media melaporkan Ahmad Faizal mendakwa pemimpin dan ahli akar umbi UMNO menyatakan sokongan untuk memenangkan PN pada PRN akan datang ketika bertemu dalam siri jelajah ke seluruh Negeri Sembilan.

"Pemimpin dan ahli UMNO yang saya temui meminta saya supaya mencari jalan untuk memastikan PN menang ke enam-enam negeri ini.

"Saya terkejut, mereka minta jentera PN bekerja kuat supaya menang di enam negeri. Semua lahirkan sokongan. Saya jumpa ketua UMNO cawangan, ketua wanita UMNO cawangan, ketua pemuda UMNO bahagian, mereka sedang bantu kita berkempen," katanya memetik laporan media.

Mengulas lanjut, Zambry berkata UMNO juga ada pandangan sendiri dan yakin terhadap usaha parti itu untuk menstabilkan negara dan meneruskan khidmat kepada rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menambah, di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri meminta supaya setiap parti politik dalam Kerajaan Perpaduan agar memberikan tumpuan terhadap usaha membina semula negara.

"Tentunya sebagai ahli politik, dia (Ahmad Faizal) mengatakan dapat sokongan itu dan sokongan ini. Itu pandangan dia.

"Tetapi mempunyai pandangan kita dan kita berkeyakinan apa yang kita sampaikan dalam usaha untuk memastikan negara stabil, meneruskan gerak kerja untuk memberi khidmat rakyat, memelihara negara agar sentiasa berada dalam kestabilan, serta membawa pelaburan-pelaburan masuk ke negara kita," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Langkawi yang juga anak Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nazifuddin memberitahu sokongan umum dan akar umbi terhadap bapanya adalah besar dan mungkin melebihi sokongan kepada parti UMNO sendiri.

Dalam situasi itu, beliau menjangkakan, ada sebilangan penyokong bekas Perdana Menteri itu yang tidak keluar mengundi ataupun memberikan undi kepada pihak lawan pada PRN, 12 Ogos depan. - Awani