Tabung masjid bantu jemaah terdesak

Hari ini banyak masjid telah pun mengorak langkah menjana sumber kewangan sendiri tidak hanya bergantung kepada sumbangan kerajaan, wakaf tunai, derma khairat daripada orang ramai semata-mata.
Hari ini banyak masjid telah pun mengorak langkah menjana sumber kewangan sendiri tidak hanya bergantung kepada sumbangan kerajaan, wakaf tunai, derma khairat daripada orang ramai semata-mata.
A
A
A

CADANGAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang mahukan masjid di negara ini menubuhkan Tabung Kasih Rahmah sebagai usaha membantu golongan memerlukan bantuan kewangan kecemasan adalah sangat baik.

Beliau menjelaskan, masjid seharusnya tidak hanya tertumpu sebagai tempat menunaikan solat dan beribadah semata-mata, tetapi peranan dan sumbangannya perlu lebih daripada itu kepada ahli kariah dan golongan asnaf.

Dalam situasi sekarang, terdapat banyak kes berlaku apabila ahli kariah tiada simpanan wang tunai cukup untuk tujuan kecemasan seperti anak sakit, mengalami kemalangan, ditimpa kebakaran rumah, kenderaan ke tempat kerja rosak dan sebagainya.

Begitu juga dengan golongan asnaf yang kehabisan duit untuk membeli keperluan barang dapur.

Justeru, tabung ini mampu menjadi talian hayat sementara untuk mereka meneruskan kehidupan.

Secara tidak langsung akan mendekatkan mereka dengan institusi masjid kerana cakna dan erat ikatan persaudaraannya dengan ahli kariah.

Langkah mewujudkan tabung kecemasan ini telah pun dimulakan di peringkat masjid Wilayah Persekutuan awal bulan ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam kenyataan 1 November lalu memaklumkan, menerusi peruntukan kewangan yang disalurkan ke tabung itu, keutamaan bantuan akan diberikan kepada penduduk di Kuala Lumpur dan warganegara Malaysia, pemohon yang terputus perbelanjaan sara hidup serta kes-kes tertentu yang difikirkan sesuai untuk dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Untuk menyahut mewujudkan Tabung Kasih Rahmah ini, penulis percaya pihak pentadbir masjid di negara ini lebih arif memikirkan bagaimana hendak mencari sumber kewangan dengan memanfaatkan ruang yang ada dengan menjana ekonomi di masjid.

Sebagai contoh membina kios-kios perniagaan, inap desa dalam kawasan masjid yang boleh disewakan bagi tempoh jangka masa panjang.

Selain itu jika bersesuaian, boleh dibina gelanggang futsal, tempat mencuci kereta yang turut boleh menjana sumber pendapatan masjid.

Hari ini, banyak masjid telah pun mengorak langkah menjana sumber kewangan sendiri tidak hanya bergantung kepada sumbangan kerajaan, wakaf tunai, derma khairat daripada orang ramai semata-mata.

Contoh terbaik yang boleh kita lihat adalah Masjid Al-Busyra, di Merbok, Kedah yang menjadi luar biasa apabila memanfaatkan wang infak orang ramai dengan bijak dan terurus.

Dari masjid biasa, masjid ini membangunkan perniagaan dan perkhidmatan melalui kedai cetak, tempat cuci kereta, homestay, kedai studio gambar, kedai serbaneka, kedai gunting rambut, spa dan salon untuk Muslimah.

Bahkan di sini juga ada dobi layan diri 24 jam, kedai menjual aksesori telefon dan sewaan dewan serba guna milik masjid yang telah diubahsuai untuk majlis tertentu.

Kini masjid itu menjadi pusat sehenti, menjana ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat Islam di kawasan tersebut.

Masjid Al-Busyra meraih Anugerah Masjid Terbaik Negeri Kedah Kategori Luar Bandar sempena sambutan Maal Hijrah 2022 dan Anugerah Standard Pelancongan ASEAN (Peringkat Kebangsaan) bagi kategori tandas awam terbaik 2023.

Bukan itu sahaja, masjid yang dibuka 24 jam sehari dan tiada pagar itu sentiasa ramai dengan jemaah.

Boleh dikatakan inilah masjid yang menjadi idaman setiap komuniti. Bukan sekadar tempat aktiviti keagamaan semata-mata, tetapi merangkumi kegiatan penjanaan ekonomi, perkembangan sosial dan pembangunan ummah.

Apabila masjid di negara ini dapat mencontohi aktiviti ekonomi seperti Masjid Al-Busyra dan dipulangkan semula kepada ahli kariah menerusi manfaat pembangunan, sudah pasti ramai umat Islam yang dalam kesusahan serta golongan asnaf dapat dibantu dan dibela dengan segera.

* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah penyunting Sinar Harian