Tok batin sanggup guna duit sendiri ganti motosikal penduduk hilang

Facebook Menteri Besar Perak turut berkongsi kisah Bili yang dianggap sebagai 'hero' kerana bertanggungjawab kepada anak buah di kampungnya. Bili (kanan) menyerahkan motosikal ganti yang hilang kepada pemilik asal di Balai Polis Gerik, semalam.
Facebook Menteri Besar Perak turut berkongsi kisah Bili yang dianggap sebagai 'hero' kerana bertanggungjawab kepada anak buah di kampungnya. Bili (kanan) menyerahkan motosikal ganti yang hilang kepada pemilik asal di Balai Polis Gerik, semalam.
A
A
A

GERIK - Kerana tidak mahu penduduk kampung ditahan kerana didakwa mencuri motosikal, seorang tok batin sanggup membeli motosikal lain sebagai ganti kenderaan yang hilang tersebut.

Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Gerik, Bili Jali berkata, tindakan itu dibuat atas dasar tanggungjawab kepada penduduk kampung dan masyarakat setempat.

Menurutnya, kejadian berlaku pada awal Disember lalu apabila salah seorang penduduk kampung itu menggunakan motosikal seorang penduduk kerana mahu mengambil gaji daripada majikan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Bagaimanapun ketika mahu pulang ke Gerik, dia tak tahu jalan balik dan tinggalkan motosikal itu di satu tempat sebelum pulang menaiki bas.

"Setelah kembali ke tempat itu bersama pemilik motosikal berkenaan, mereka dapati motosikal itu sudah tiada. Sebab itulah saya rasa bertanggungjawab ganti semula motosikal yang hilang itu," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Bili, dia membeli sebuah motosikal Honda EX5 terpakai berharga RM3,800 dan menyerahkan kepada pemilik motosikal bagi menebus kesilapan penduduk kampung jagaannya.

Beliau berkata, duit tersebut dikumpul bersama adik beradik selain menggunakan elaun ketua kampung diterima untuk membeli motosikal tersebut.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Hal Ehwal Orang Asli, Mohd Saad Ismail berkata, tindakan dilakukan tok batin tersebut wajar dijadikan contoh kepada pemimpin masyarakat lain.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Bili juga merupakan seorang pemimpin masyarakat yang sangat berdedikasi.

Beliau berkata, banyak program-program bersama orang asli yang dilaksanakan bersama walaupun Bili baru setahun dilantik sebagai tok batin.

Terdahulu, kisah Bili turut dikongsi menerusi Facebook Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menganggapnya sebagai 'hero' masyarakat.