Ibu tunggal cekal, kehilangan suami ketika berpantang

Mohd Noor Helmy (empat,kiri) dan Zulkifli (tiga,kiri) ketika menziarah Nastasha Aidura di rumah sewanya di Taman Duyong Permai pada Jumaat.
Mohd Noor Helmy (empat,kiri) dan Zulkifli (tiga,kiri) ketika menziarah Nastasha Aidura di rumah sewanya di Taman Duyong Permai pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Dunia wanita ini seakan gelap apabila suami yang dicintai pergi meninggalkannya ketika sedang berpantang selepas melahirkan anak kelima.

Suri rumah, Nastasha Aidura Mohd Ezrin Singh, 33, mengakui masih sukar menerima hakikat pemergian Allahyarham Mohammad Hafiz Jamal@ Jamaludin, 38, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, namun dek memikirkan nasib anak-anak dia bertekad untuk bangkit.

Menurutnya, arwah suami bekerja sebagai Eksekutif Operasi di sebuah kelab rekreasi sukan di Klang, Selangor meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada bulan lalu dan selama bekerja arwah akan berulang alik dari Melaka setiap hari.

Katanya, walaupun anak bongsunya, Nur Keisha Camilla Mohammad Hafiz baharu berusia 40 hari, namun dia perlu berdikari menguruskan keluarga lebih-lebih lagi tiga anaknya berusia lapan, sembilan dan 10 tahun masih bersekolah.

"Saya tak boleh berterusan bersedih kerana anak-anak akan ikut sama bersedih, jadi saya perlu kuat.

"Saya reda apa yang berlaku kepada kami sekeluarga dan saya perlu menjaga amanah arwah sebaik-baiknya," katanya ketika menerima ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Taman Duyung Permai pada Jumaat.

Nastasha Aidura (kiri) menunjukkan gambar arwah suaminya bersama anak keempat, Nur Ariana Raisha yang berusia empat tahun
Nastasha Aidura (kiri) menunjukkan gambar arwah suaminya bersama anak keempat, Nur Ariana Raisha yang berusia empat tahun

Hadir sama, Pengarah JKM Melaka, Zulkifli Hanifah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata, agensi berkaitan seperti JKM dan Majis Agama Islam Melaka (JAIM) telah membuat lawatan awal sebelum ini dan menyalurkan bantuan segera kepada Nastasha Aidura.

Menurut beliau, JKM telah meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM850, bantuan bulanan makanan MAIM RM250 dan faedah pencen bulanan daripada Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM3,480 sepanjang hayatnya.

"Saya juga dimaklumkan PERKESO telah menyerahkan khairat kematian berjumlah RM2,000.

"Sekurang-kurangnya dengan adanya bantuan ini dapat meringankan beban suri rumah berkenaan yang kehilangan ketua keluarga," katanya.