'Geng Leleh' aktif jenayah pecah rumah tumpas

Mohd Zaidi (dua dari kanan) menunjukkan komputer riba yang berjaya dirampas selepas tertangkapnya Geng Leleh di Kota Kinabalu.
Mohd Zaidi (dua dari kanan) menunjukkan komputer riba yang berjaya dirampas selepas tertangkapnya Geng Leleh di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah yang aktif melakukan pecah rumah bukan saja di sekitar Kota Kinabalu tetapi daerah lain termasuk Penampang, Papar dan Beaufort.

Kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai 'Geng Leleh' itu berjaya ditahan menerusi beberapa siri serbuan pada Isnin hingga Rabu lalu di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, geng itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun bersama tiga lagi ahlinya di mana dua daripadanya turut berjaya diberkas.

Menurutnya, geng tersebut terlibat dalam 16 kes pecah rumah yang dilakukan pada waktu siang termasuk 12 kes di Kota Kinabalu, dua kes di Penampang manakala Papar dan Beaufort masing-masing satu kes.

"Geng Leleh yang aktif sejak September lalu ini menggunakan modus operandi berlegar di sekitar rumah mewah dan mengetuk pintu rumah, menekan loceng atau memberi salam kepada tuan rumah dan jika penghuni tidak memberi respon mereka melakukan pecah rumah.

"Ada juga tindakan mereka cuba menghampiri penghuni rumah dan cuba melakukan samun tetapi jika tuan rumah menjerit untuk meminta tolong, mereka segera melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Mohd Zaidi berkata, jumlah kerugian untuk kes di Kota Kinabalu sebanyak RM336,000 termasuk membabitkan wang tunai, barangan kemas, barangan elektronik dan gajet.

"Antara yang dicuri ialah wang tunai hampir RM40,000, barangan kemas, telefon bimbit, komputer riba, jam tangan dan juga peti besi yang mengandungi pelbagai mata wang.

Artikel Berkaitan:

"Barang yang dicuri ini akan dilupus, dijual atau digadai oleh geng tersebut di kedai pajak gadai dan orang awam di sekitar pusat bandar," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, sembilan individu turut ditahan terbabit dalam aktiviti membeli barangan curi daripada geng tersebut.

"Hasil siasatan lanjut berjaya merampas semula barang yang dicuri yang bernilai RM26,000 serta sebuah kereta sewa disyaki digunakan untuk melakukan pecah rumah di daerah lain.

"Tangkapan susulan turut dilakukan membabitkan empat lelaki dan lima wanita terdiri daripada pekerja kedai emas dan pemilik pengurup wang serta individu yang aktif membeli barang curi," katanya.

Katanya lagi, seorang lagi suspek masih diburu dikenali sebagai 'Musa' berusia 20-an manakala tiga rakan sejenayahnya kini sedang direman.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda serta sebat jika kesalahan kali kedua dan seterusnya," katanya.