Tiga lelaki aktif pecah rumah, curi motosikal dicekup

Polis merampas motosikal termasuk rangka dan komponen kenderaan tersebut yang disyaki dicuri oleh sekumpulan tiga lelaki.
Polis merampas motosikal termasuk rangka dan komponen kenderaan tersebut yang disyaki dicuri oleh sekumpulan tiga lelaki.
A
A
A

AMPANG - Seramai tiga individu termasuk seorang lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi motosikal di Pandan Indah pada 25 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kesemua lelaki berusia 26 hingga 35 tahun itu ditahan secara berasingan di Seremban, Negeri Sembilan; Rawang dan Cheras di Kuala Lumpur dalam operasi bermula jam 7.30 malam, Selasa hingga 5.45 pagi, Rabu.

"Tangkapan itu susulan laporan seorang lelaki berusia 23 tahun, bekerja sebagai penghantar makanan mendakwa motosikal jenis Yamaha Y125 miliknya yang diparkir di kaki lima sebuah pangsapuri telah hilang disyaki dicuri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Azam berkata, hasil semakan mendapati hanya salah seorang daripada tiga suspek mempunyai enam rekod jenayah, lima rekod dadah dan satu rekod masih dikehendaki polis.

"Siasatan mendapati suspek aktif melakukan pecah rumah dan curi motosikal di daerah Ampang dan sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, polis menjumpai semula rangka motosikal serta tiga motosikal yang dilaporkan hilang dalam daerah Ampang dan Kuala Lumpur.

"Kita turut merampas komponen motosikal, lima utas jam tangan pelbagai jenis, satu bekas mengandungi alat perhiasan dan tiga buah telefon bimbit.

"Kesemua suspek ditahan reman empat hari bermula Rabu hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun keseksaan," katanya.