Kagum murid Tahun Dua faham pasal rasuah

Aziz (kiri) menyerahkan sumbangan buku daripada Karangkraf kepada Noraini (tengah) dan Norafizah.
Aziz (kiri) menyerahkan sumbangan buku daripada Karangkraf kepada Noraini (tengah) dan Norafizah.
A
A
A

JERANTUT - "Bila ada pengawas tulis nama sebab lewat dan kita tawarkan duit supaya tidak dilaporkan kesalahan ini," itu jawapan spontan murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Baharu, Mohd Muyassir Riduan Mohd Firdaus.

Analogi itu diberikan oleh murid terbabit ketika ditanya jenis dan maksud rasuah oleh Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pahang, Aziz Abd Rahman sempena Majlis Penyampaian Hadiah Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 di sekolah tersebut baru-baru ini.

Kagum dengan analogi yang diberikan oleh murid terbabit, Aziz memuji dan menyifatkan ia hasil usaha pihak sekolah yang memberikan pendedahan dan kesedaran mengenai isu rasuah di peringkat awal.

"Saya berharap lebih banyak pendedahan diberikan di peringkat awal terutamanya di peringkat sekolah rendah sebagai usaha kempen antirasuah melalui pendidikan.

"Hakikatnya amalan rasuah sudah boleh berlaku di peringkat awal dan jika tidak dibendung ia boleh terus menjadi barah dalam negara," ujar beliau yang juga menyampaikan sumbangan buku daripada Karangkraf terhadap pusat sumber sekolah tersebut.

Program anjuran pusat sumber sekolah bersama Rasuah Busters Sinar Harian julung kalinya dianjurkan berjaya menarik penyertaan 28 buah sekolah seluruh negara.

Guru besarnya, Noraini A Malek memberitahu, walaupun sekolah itu hanya memiliki 96 murid keseluruhan termasuk prasekolah, ia tidak menghalang warga sekolah termasuk ibu bapa memberikan sokongan padu terhadap program tersebut.

Menurutnya, empat murid sekolah itu mengambil bahagian terdiri dua pembentang dan selebihnya peserta persembahan dalam program yang berlangsung dalam talian pada 24 Jun lalu yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Artikel Berkaitan:

"Pemahaman murid nampak semakin jelas. Mereka sudah dapat berikan contoh apa bentuk-bentuk amalan rasuah.

"Mereka dapat memahami apa yang kita nak terapkan kepada mereka. Insya-ALLAH, lebih banyak program sesuai akan dijalankan selepas ini," tambah beliau sebanyak enam sekolah di Pahang menyertai program tersebut.

Warga SK Kg Baharu bergambar kenangan.
Warga SK Kg Baharu bergambar kenangan.

Bagi Penyelaras Program Bicara Cilik Rasuah Busters yang juga Ikon Guru Perpustakaan dan Media Kebangsaan Tahun 2019, Norafizah Abdul Razak, program itu akan diteruskan dengan lebih banyak sekolah dapat menyertainya pada masa akan datang.

Beliau yang juga guru pusat sumber sekolah itu bersyukur kerana program itu dapat berjalan lancar dengan kerjasama erat yang diberikan oleh Rasuah Busters Sinar Harian.

Sementara itu, bagi dua pembentang dari sekolah tersebut terdiri murid Tahun Enam, Wan Muhammad Adam Wan Buliami dan Annur Najiyya Najla Kamarul Bahari, masing-masing gembira kerana banyak memperoleh banyak ilmu baharu menerusi program terbabit.

Wan Muhammad memberitahu, ia juga kini lebih faham dan akan berkongsi maklumat yang ada dengan rakan-rakan lain selepas ini.

Annur pula menyifatkan program itu sangat bagus buat murid di peringkat awal kerana ia dapat membantu mereka lebih memahami dan sedar akan bahaya amalan rasuah.