Murid Tahun Lima dakwa dirotan guru besar hingga cedera

Kecederaan yang dialami murid berkenaan.
Kecederaan yang dialami murid berkenaan.
A
A
A

SEGAMAT - Seorang murid lelaki di sebuah sekolah di sini cedera di badan dan muka selepas didakwa dirotan guru besar disebabkan gagal menyiapkan kerja sekolah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya mengetahui kejadian yang berlaku terhadap murid Tahun Lima itu menerusi Facebook Polis Daerah Segamat pada jam 11 malam Selasa.

“Pada jam 12.10 tengah malam, satu laporan polis dibuat ibu mangsa mengatakan anaknya cedera di leher kiri, bahu kiri dan calar di pipi akibat dirotan guru besar wanita berusia 50-an.

“Siasatan awal mendapati murid itu dirotan kerana gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa ketika sesi pembelajaran di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya memanggil guru berkenaan dan sudah mengambil keterangannya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.