Dua ditahan kes rasuah lebih RM100 juta luluskan visa warga Bangladesh

SPRM menahan reman empat hari terhadap dua lelaki untuk siasatan kes rasuah VLN.
SPRM menahan reman empat hari terhadap dua lelaki untuk siasatan kes rasuah VLN.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki kerana disyaki menerima wang rasuah bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia, kononnya untuk tujuan melancong.

Penahanan dua individu berusia lewat 30-an itu dibuat kira-kira jam 6.30 petang, di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada Khamis.

Menurut sumber, seorang individu yang ditahan ini dipercayai ialah pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja yang bersekongkol dengan pegawai agensi penguat kuasa tersebut.

"Pegawai itu merupakan agensi penguat kuasa ketiga yang telah ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya pada Jumaat.

Tambah sumber, siasatan mendapati pegawai penguat kuasa yang bertugas di suruhanjaya tinggi tersebut dipercayai bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia dengan sengaja menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.

Katanya, siasatan mendapati pegawai tersebut dipercayai menerima bayaran sekitar AS$300 ke AS$500 bagi setiap kelulusan permohonan VLN meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja.

"Jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta," ujarnya.

Susulan itu, kedua-dua suspek telah direman empat hari bermula sehingga 31 Julai.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut untuk siasatan di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.