KSAS: Bantahan akan dirujuk kepada NRECC

Dr Hafidzah (tengah) menunjukkan risalah membantah cadangan ubah suai KSAS di Kota Bharu pada Khamis.
Dr Hafidzah (tengah) menunjukkan risalah membantah cadangan ubah suai KSAS di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim akan memanjangkan bantahan terhadap cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) oleh Kerajaan Kelantan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Beliau berkata, bantahan disuarakan kerana cadangan tersebut dibimbangi akan memberi kesan buruk kepada khazanah alam selain mengundang bencana seperti banjir.

Katanya, setakat ini, rakyat masih belum berpuas hati dengan penjelasan daripada kerajaan negeri berkait dengan cadangan itu.

“Saya akan membawa mesej membantah cadangan ini kepada kementerian dan kerajaan pusat kerana akhirnya perkara ini perlu mendapat kelulusan pihak berkenaan.

“Pengubahsuaian melibatkan hutan simpan kekal menimbulkan kegusaran selain belum ada jawapan serta kepastian adakah rancangan tersebut boleh mengelak atau tidak menyebabkan banjir besar,” katanya kepada Sinar Harian selepas penyerahan borang bantahan oleh Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan di Kota Darulnaim di sini, pada Khamis.

Borang diserahkan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Kelantan.

Ujar Beliau yang juga Ketua Awan Kelantan, orang ramai juga disarankan untuk membuat bantahan sama bagi menjaga kepentingan masyarakat secara keseluruhan termasuk Orang Asli yang berisiko tinggi akan terjejas.

“Tempoh bantahan yang boleh dikemukakan masih berbaki dua hari sehingga Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai boleh salurkan rasa tidak bersetuju dengan cadangan itu secara dalam talian atau e-mel ke jpbd@kelantan.gov.my sehingga jam 3 petang hari berkenaan,” kata beliau.